PM Bimbang kepupusan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR– Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan dengan polulasi Harimau Malaya yang semakin pupus.

Beliau berkata, menurut dapatan awal Survei Harimau Kebangsaan Pertama menunjukkan hanya terdapat antara 130 hingga 140 ekor Harimau Malaya di negara ini.

“Jika jumlah itu menurun kepada kurang daripada 100 ekor, spesis itu akan diancam kepupusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Justeru, saya meminta semua Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif melindungi kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat utama Harimau Malaya supaya spesis tersebut tidak diancam kepupusan,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77, antara lain bagi membincangkan hal berkaitan dasar negara dalam mengurus, memaju dan mengawal penggunaan tanah untuk tujuan perlombongan, pertanian serta perhutanan.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia bagi memperkayakan khazanah hutan melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

“Satu kerangka kewangan inovatif akan dilaksanakan bertujuan menyediakan insentif kewangan kepada semua Kerajaan Negeri bagi melindungi dan memelihara kawasan berhutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kerajaan Persekutuan dan negeri, kata beliau perlu memainkan peranan penting
dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok.

Menurutnya, ia selaras dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

“Ketika ini, hutan tropika di Malaysia adalah berkeluasan 18.27 juta hektar atau 55.31 peratus.

“Khazanah hutan adalah penting dalam pembangunan sosioekonomi dan kestabilan alam sekitar selain amat mustahak untuk kelangsungan hidupan liar supaya tidak terus terancam,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam mesyuarat itu, beliau membangkitkan kepentingan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dalam pengurusan tanah, hutan dan sumber mineral.

Jelasnya, perkara itu perlu seiring amalan norma baharu dalam masyarakat seperti mana sistem e-Tanah yang diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika ini,” katanya.

Di samping itu, Perdana Menteri mengambil maklum mengenai Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2020-2030 yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memajukan lagi potensi sektor mineral negara.

“Saya yakin pelan ini mampu merancakkan semula industri mineral secara holistik terutama penumpuan terhadap pembangunan sektor mineral pada peringkat pertengahan dan hiliran di negara ini berasaskan prinsip perlombongan mampan.

“Hasrat ini akan disokong oleh pewujudan semula Majlis Mineral Negara yang akan bertindak sebagai platform konsultasi utama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi kepentingan bersama industri mineral,”katanya.

Tambah Muhyiddin, kerajaan dalam masa sama menekankan kepentingan penggunaan dan pengurusan sumber asli.

Menurutnya, penggunaan dan pengurusan yang cekap dan bijaksana tentunya akan menyumbang kepada kesejahteraan negara dan rakyat sejajar Matlamat Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.