Penduduk terharu dapat perhatian NVOG & Friends

Seorang wanita menerima sumbangan daripada ahli NVOG & Friends

BALING– Tiada kata-kata mampu terbit daripada mulut penoreh getah dan warga emas melainkan rasa syukur apabila kesusahan hidup mereka diringankan.

Kumpulan seramai 21 orang tersebut menerima bekalan makanan dan wang tunai daripada Northern Versys Owner Group (NVOG) & Friends, hari ini.

Bantuan berkenaan membabitkan penduduk Kampung Telaga Panchur, Kampung Tembak B dan Kampung Batu Lintang.

Presiden NVOG & Friends, Ahmad Fazrul Shahril Tajuddeen berkata, bantuan yang disalurkan melalui misi kemanusian ‘Movement Control Order (MCO) 2.0’ itu bertujuan meringankan beban penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kita tahu ada anak yang dibuang kerja, ada yang tidak boleh menoreh, harga getah pun sekarang ini jatuh.

“Atas keprihatinan kami, NVOG & Friends tampil membantu penduduk yang memerlukan di kawasan ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat,” katanya hari ini.

Beliau berharap kerajaan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) supaya dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

Penasihat NVOG & Friends, Abu Bakar Abdullah berkata, bantuan kali ini ialah kedua bagi tahun 2021 selepas misi kemanusian di Benta Pahang pada awal bulan lalu.

Menurutnya, pihaknya menyumbangkan bekalan makanan basah, kering dan wang tunai melalui hasil kutipan rakan-rakan NVOG & Friends.

Ketua NVOG & Friends, Ahmad Fazrul Shahril Tajuddeen (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi JPKK Kampung Tembak B Ramli Mohd Noor

Sementara itu, wakil penduduk dan juga Surau Al Barakah Kampung Tembak B , Elyas Salleh mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli NVOG & Friends kerana sanggup datang dari jauh bagi membantu penduduk.

“Kami amat terharu apabila mendapat tahu ahli-ahli NVOG & Friends dari Pulau-Pinang, Alor Setar, Sik, Pendang dan lain-lain sanggup datang merentas negeri bagi menyampaikan sumbangan.

“Dalam tempoh yang sukar ini, kami orang kampung terharu apabila ada pihak sanggup bersusah payah dan berkorban datang membantu.

“Penduduk mendoakan ahli NVOG & Friends sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH.

“Terima kasih kepada pihak berkuasa yang memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tembak B, Ramli Mohd Noor dan Setiausahanya, Nazri Yaakop serta Setiausaha Surau Al Barakah Kampung Tembak B, Omar Abd Hamid.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.