Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia

Kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi tadi.

KUALA LUMPUR-Kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah tiba di negara ini melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau bersyukur apabila bekalan itu selamat tiba Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi tadi.

“Insya-Allah, Malaysia akan mula melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari 2021 melalui tiga fasa”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suntikan vaksin fasa satu akan melibatkan 500,000 bermula Februari hingga April 2021.

Menurutnya, seramai 9.4 juta orang melibatkan warga emas berusia 65 tahun, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan berisiko tinggi akan disuntik bermula April hingga Ogos 2021.

“Fasa 3 iaitu 3 Mei 2021 – Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang,”katanya.

Muhyiddin berkata, beliau berharap mereka yang diklasifikasikan dalam fasa 2 dan 3, boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa 1 dilakukan.

“Justeru saya juga berharap agar saudara dan saudari yang layak diberikan suntikan vaksin mendaftar apabila pendaftaran dibuka dalam waktu yang terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan,”katanya.

Beliau berkata, vaksinasi amat penting untuk ksemua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin.

” Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk.

“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin dan semua pihak serta agensi yang terlibat, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengangkutan, dan Malaysia Airlines Berhad untuk pastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.