Pastikan rentas negeri bukan alasan langgar SOP

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Semua perantau yang pulang ke negeri ini dinasihati terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kes positif COVID-19 di Kedah naik mencanak.

Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata,
kebenaran rentas negeri berkuat-kuasa pada 11 Oktober bukan alasan untuk semua pihak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kepada perantau yang pulang, pastikan anda terus mematuhi SOP telah ditetapkan kerajaan.

“Pastikan perantau yang pulang bertemu keluarga telah menerima suntikan lengkap vaksinasi. Sebelum bertemu keluarga pastikan juga pakaian dan tangan anda bersih,”katanya.

Mustaffa berkata, ketidakpatuhan SOP selain sikap penting diri sendiri akan memusnahkan usaha semua pihak membendung penularan.

“PUTRA bimbang jika ada pihak antivaksin mengambil kesempatan pulang merentas negeri pulang bertemu keluarga di Kedah setelah kerajaan mengumumkan tiada lagi kawalan wajib di sempadan negeri.

“Maka, PUTRA berharap ahli keluarga yang tahu ada ahli keluarga enggan divaksin mahu pulang ke Kedah menasihati mereka untuk tidak berbuat demikian.

“Jangan kerana sikap degil mereka dan sikap empati kita yang tidak bertempat menjadikan Kedah lubuk penularan wabak COVID-19,”katanya.

Mengulas perkembangan lain, Mustaffa berkata, seandainya kes penularan dapat dikawal selama enam bulan dari tempoh kebenaran rentas negeri, ia memberikan petanda Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir.

“Selepas ini, saya rasa semua parti akan sudah mula membuat pecutan untuk mengadakan kempen secara besar-besaran seperti ceramah dan siri jejajah.

“Memang itu ditunggu semua parti termasuklah PUTRA. Kami mahu lebih ramai mengenali parti ini,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.