ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menyeru rakyat supaya mempertimbangkan calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Menurut beliau, kemunculan semakin banyak parti politik pada masa kini menyebabkan sebahagian rakyat berdepan kesukaran untuk meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mana-mana parti.
Beliau berpandangan bahawa calon bebas yang berani menawarkan diri untuk bertanding berpotensi membawa perjuangan yang lebih tulus dan berfokus kepada kebajikan rakyat tanpa terikat dengan kepentingan politik kepartian.
“Demi masa depan rakyat, negara dan agama, saya berharap rakyat dapat menilai dengan bijaksana calon-calon yang bertanding. Calon bebas wajar diberikan pertimbangan sekiranya mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya politik yang menurutnya lebih tertumpu kepada perebutan kuasa dan kepentingan tertentu berbanding usaha menyelesaikan masalah rakyat.
Justeru, beliau menggesa para pengundi agar membuat penilaian berdasarkan integriti, keikhlasan dan rekod perkhidmatan seseorang calon, tanpa mengira latar belakang parti atau status sebagai calon bebas.
Menurut beliau lagi, rakyat pada hari ini semakin matang dalam membuat penilaian terhadap kepimpinan negara.
Oleh itu, pengundi tidak seharusnya hanya melihat kepada lambang parti semata-mata, sebaliknya meneliti kemampuan calon dalam membawa suara rakyat serta menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa wakil rakyat yang dipilih perlu sentiasa berada bersama masyarakat, mendengar keluhan rakyat dan memperjuangkan isu-isu berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan serta kebajikan golongan yang memerlukan.
Katanya, keutamaan tersebut lebih penting berbanding persaingan politik yang berpanjangan.
Dalam masa yang sama, beliau berharap sistem demokrasi negara akan terus subur dengan penyertaan individu-individu berwibawa yang sanggup berkhidmat tanpa mengutamakan kepentingan peribadi.
Menurutnya, penyertaan calon bebas yang berkualiti mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat dalam menentukan hala tuju negara.
“Undilah dengan penuh tanggungjawab demi masa depan rakyat, negara dan agama,” tambanya.
RENTAS7








Leave a Reply