PAMM tuntut mamak ingkar cetus kluster Sivagangga dipenjara

Mustafa

SUNGAI PETANI– Pencetus kluster Sivagangga sehingga menyebabkan Kedah berisiko pandemik COVID-19 perlu dipenjara.

Saranan itu dibuat Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM).

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, mereka yang degil untuk patuh dikuarantin dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sama seperti penjenayah kerana mengancam nyawa orang ramai.

Menurutnya, golongan berkenaan perlu dihukum kerana gagal untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dalam musim wabak.

“Kerajaan telah memberikan arahan dan amaran kepada mereka yang dikurantin supaya patuh SOP. Namun masih ada yang ingkar pentingkan diri sendiri.

“Meraka ini sama seperti penjenayah. Penjenayah mengancam dengan senjata, golongan ini pula menyusahkan orang lain dengan tidak patuh arahan,”katanya hari ini.

Beliau berkata, kluster Sivagangga yang berpunca daripada pengusaha nasi kandar di Napoh tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, lelaki itu perlu dikenakan hukuman yang berat dan tidak dengan dikompaun semata-mata.

“PAMM berharap individu berkenaan dipenjarakan seperti mana penjenayah yang mengancam nyawa orang lain.

“Lesen perniagaannya juga perlu ditarik semula seumur hidup,”katanya.

Mustaffa berkata, rakyat Kedah kini hidup dalam kebimbangan ekoran peningkatan jangkitan COVID-19.

“Rakyat Kedah berdepan dua risiko iaitu ancaman kesihatan dan ekonomi.

“Oleh itu, dia juga wajib membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Kedah secara terbuka apabila sembuh kelak.

“Sama ada permohonan maafnya diterima atau ditolak, itu terpulang kepada rakyat negeri ini,”katanya.

Pengusaha restoran berkenaan pulang dari India pada 13 Julai lalu dan ingkar untuk kuarantinkan diri di rumah sebaliknya keluar ke kawasan awam.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.