Kajian semula Akta Kanak-kanak 2001

PUTRAJAYA-Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap isu sosial terutama berkaitan dengan penderaan kanak-kanak yang sering berlaku akhir-akhir ini.

KPWKM dalam kenyataan berkata, selaras dengan obligasi Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen
Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) terutamanya Artikel 19 mengenai perlindungan daripada segala bentuk keganasan fizikal, emosi dan seksual.

“KPWKM bercadang untuk mengkaji semula Akta Kanak-Kanak 2001 susulan pindaan terakhir Akta ini adalah pada tahun 2016.

“Sebagai langkah awal, KPWKM telah memulakan kerjasama dengan UNICEF
dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) SUHAKAM untuk mengenal pasti kelompangan (loopholes) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 melalui satu
kajian khusus yang dijangka siap pada penghujung tahun 2021,”katanya pada 17 Mac lalu.

Kenyataan berkata, KPWKM mengalu-alukan sesi konsultasi yang akan diadakan oleh UNICEF dan OCC bersama pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), pakar dan aktivis kanak-kanak serta ahli akademik bagi memastikan pandangan semua pihak
diambil perhatian.

“Sesi konsultasi dan pengumpulan input merupakan fasa yang amat penting
dalam proses kajian semula Akta Kanak-Kanak 2001 ini agar ia lebih menyeluruh dan menepati keperluan dalam semua aspek meliputi perlindungan, pemeliharaan dan pemulihan kanak-kanak di Malaysia.

“Pada masa yang sama, KPWKM akan terus mempergiatkan program literasi undang-undang dan penguatkuasaan peruntukan Akta sedia ada untuk memberi kesedaran kepada umum bahawa melindungi kanak-kanak di negara ini merupakan tanggungjawab kita bersama,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.