Dr. Siti A’iasah Hashim dilantik Pengarah Agensi Nuklear

Dr. Siti A’iasah

KUALA LUMPUR– Dr. Siti A’iasah Hashim telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Gred Utama C Secara Khas Untuk Penyandang), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkuatkuasa 7 Oktober 2020 menggantikan Dr. Mohd. Abd. Wahab Yusof yang telah bersara pada 21 September 2020.

Pelantikan Dr. Siti A’iasah Hashim dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam bidang penyelidikan bagi membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Agensi Nuklear Malaysia dan seterusnya meneruskan kecemerlangan bagi mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan.

Beliau mendapat pendidikan Ijazah Pertama Kejuruteraan (Elektrik), University of New South Wales, Australia pada Tahun 1987 dan mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fizik Gunaan (Kawalan Pencemaran Udara) daripada Universiti Malaya pada Tahun 2015.

Selain itu, Dr. Abdul Rahim Harun pula telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal), memangku Gred Utama C di Agensi Nuklear Malaysia berkuatkuasa mulai 7 Oktober 2020.

Beliau merupakan mantan Pengarah Bahagian Agro & BioSains dan pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman.

Dr. Abdul Rahim

Beliau juga pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius.

Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan sekalung tahniah di atas pelantikan tersebut serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Mohd. Abd. Wahab Yusof di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia sebelum ini.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.