PAMM sokong Sanusi, mahu penempatan haram Bukit Malut dipindahkan

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) menyokong saranan kerajaan negeri supaya sebahagian dari 77 hekta tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dijadikan lokasi penempatan baru penduduk setinggan yang tinggal di penempatan haram berhampiran situ di Bukit Malut.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pembinaan penempatan baru penduduk di situ akan mengurangkan kes jenayah di Bukit Malut yang selama ini menghantui penduduk tempatan.

“Saya fikir saranan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai satu idea yang dapat menjadi salah satu langkah penyelesaian penempatan setinggan haram di Bukit Malut, PAMM harap cadangan itu  dapat diterima dan diluluskan Majlis Keselamatan Negara ( MKN).

“Selama ini Bukit Malut sudah sesak dengan rumah setinggan yang dibina haram serta dikenali dengan kawasan jenayah hingga membimbangkan penduduk tempatan,”katanya.

Beliau berkata, memindahkan penduduk di situ akan memberikan nafas baru kepada Bukit Malut sebagai salah satu kawasan yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan.

“Kita tidak boleh terus membiarkan kawasan itu diduduki secara haram.

“Jika tak mahu guna campur tangan pasukan keselamatan, inilah salah satu kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan,”katanya.

Bagaimanapun Mustaffa berkata, jika idea penempatan baru direalisasikan kelak, kerajaan negeri perlu memastikan lokasi baharu itu benar-benar selamat dari kegiatan jenayah supaya tidak mengulangi situasi di Bukit Malut.

“Jika bina tapi kadar jenayah dan masalah seperti di Bukit Malut masih berlaku, ia bukan satu penyelesaian, tapi satu pembaziran projek.

“Justeru, PAMM mahu pelbagai perkara diteliti dan dikaji serta dituntaskan dengan gerak kerja supaya kita tak buat kerja dua kali,”katanya.

Terdahulu, media melaporkan Sanusi mencadangkan supaya 24 hektar tanah LKIM diambil oleh MKN bagi membangunkan kira-kira 1,200 kediakan baharu penduduk setinggan di Bukit Malut supaya hidup mereka lebih selesa dan selamat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.