Musibah berterusan, peringatan ALLAH

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR-Musibah berterusan dengan terbaru banjir kilat di Kuala Lumpur merupakan satu peringatan ALLAH kepada rakyat dan pemimpin Malaysia.

Ketua Penerangan Majlis Ekonomi Halal Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus berkata, musibah yang tidak sudah-sudah menimpa negara perlu diteliti dan diperhalusi dengan mendalam oleh rakyat dan pemimpin Malaysia.

Menurutnya, jika ada yang mengatakan apa terjadi hanyalah musibah alam semata-mata, individu berkenaan sebenarnya sudah ditutup mata hati untuk berfikir dengan waras.

“Ia bukan sekadar musibah alam. Tetapi ini peringatan keras ALLAH! Jika kita perasan, ia bermula dari tragedi Aliran Puing Gunung Jerai pada Ogos tahun lalu.

“Bencana demi bencana terus berlaku termasuk banjir di Selangor, Pahang dan Johor pada hujung tahun lalu.

“Awal tahun ini kita dikejutkan dengan banjir di Kelantan, Terengganu dan terkini Kuala Lumpur. Semua musibah ini bukan kebetulan, tiada yang kebetulan dalam urusan ALLAH,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pelbagai kerosakan dan bala yang datang ialah kerana tangan manusia dan ia disebut ALLAH dalam al-Quran.

“Dalam Surah Ar Rum ayat 41 ALLAH berfirman yang maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

“Sudah jelas lagi terang apa yang berlaku pada tanah air kita hari ini adalah dari tangan-tangan kita sendiri.

“Jika nak ALLAH selamatkan kita, marilah insaf dan bertaubat seperti apa yang disebut dalam al-Quran. Jangan jadi seperti syaitan yang ego dan sombong kepada ALLAH,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) berkata, dalam konteks negara, pemimpin dan rakyat mempunyai amanah terhadap ALLAH.

“Bab pemimpin mereka pasti tahu jika ada dosa dilakukan dalam urusan pentadbiran mahupun berkaitan amanah. Urusan itu antara mereka dengan ALLAH.

“Tetapi jika kita nampak kezaliman pemimpin, ia wajib ditegur selagi mana ia tidak mudaratkan nyawa kita. Dalam situasi demokrasi di Malaysia, pemimpin kita boleh ditegur kerana kita bukan negara Komunis.

“Tetapi jika pemimpin jika sudah ditegur tetapi masih keras kepala, urusan kita dengan ALLAH sudah terlepas.

“Ada pun kita rakyat pula, semak pula urusan kita dengan manusia lain dan paling utama dengan ALLAH.

“Janganlah berterusan sombong. Jangan sampai ALLAH tenggelamkan seluruh Malaysia atau tarik nyawa. Waktu itu sudah tiada apa yang boleh dikesalkan,”katanya.

Mustaffa berkata, ujian juga sebagai tanda ALLAH masih mahu menegur kita.

“Sampai bila nak kena musibah? ALLAH sudah bagi jawapan mengapa kita masih degil? Mahu jadi syaitan ?” soalnya.

RENTAS7

 

 

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.