Meninggal dunia ketika keluar memancing

mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru untuk tindakan lanjut

JOHOR– Seorang tekong bot pancing menemui ajal selepas keluar memancing bersama rakannya pada malam 6 Mac lalu.

Mangsa, Borhan Ahmad,54, meninggal dunia dalam bot berhampiran Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, rakan mangsa segera menghubungi Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor pada 9.40 malam apabila mendapati rakannya pengsan dalam bot.

“Pengadu iaitu rakan kepada mangsa memaklumkan mangsa pengsan dalam bot dan memohon bantuan kerana tidak mahir mengemudi enjin bot tersebut.

“Menurut laporan awal kejadian, mangsa baru sahaja keluar dari Jeti Simpang Kiri, Sungai Karang bersama rakannya untuk memancing di laut, namun telah jatuh pengsan semasa hendak memotong jaring yang tersangkut pada baling-baling enjin bot mereka,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bot Kilat 12 digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan sejurus menerima maklumat sementara MRSC menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan bantuan ambulan dan Pegawai Perubatan.

Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru untuk tindakan lanjut

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota Penguat Kuasa Bot Kilat membawa mangsa ke jeti dan diserahkan kepada Pegawai Perubatan.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 11.05 malam dan mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru untuk tindakan lanjut,”katanya.

Orang ramai diminta segera menghubungi hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 bagi insiden kecemasan atau kesalahan jenayah di perairan Johor.

Rentas7.com/ Foto:APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.