KUALA LUMPUR -Seluruh mata peminat bola sepak Asia kini terarah ke Dallas Stadium (AT&T Stadium), Arlington, Texas, Amerika Syarikat apabila Jepun dijadual turun beraksi menentang Belanda pada jam 4.00 pagi nanti.
Sebagai wakil keempat Asia, Jepun memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan momentum cemerlang benua itu selepas tiga wakil Asia lain mencatat keputusan memberangsangkan dalam aksi pembukaan masing-masing.
Korea Selatan memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech, Australia menewaskan Turki 2-0, manakala Qatar berjaya mengikat Switzerland 1-1.
Walaupun Jepun hadir dengan rekod meyakinkan hasil deretan kemenangan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, cabaran menentang Belanda dijangka jauh lebih sukar.
Pasukan Oranje terkenal dengan disiplin taktikal, kekuatan fizikal dan pengalaman luas di pentas antarabangsa.
Jepun ampuh di semua posisi, tetapi penjaga gol mereka Zion Suzuki yang kadang kala melakukan kesilapan mudah bakal membawa padah kepada skuad Samurai Biru.
Kemenangan buat Jepun bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan wakil Asia di kejohanan ini, malah mampu menjadi suntikan semangat kepada tiga lagi wakil benua itu iaitu Arab Saudi, Iran dan Uzbekistan yang bakal memulakan kempen mereka selepas ini.
Mampukah Samurai Biru meneruskan rentak cemerlang Asia dan menghadiahkan satu lagi kemenangan bersejarah? Segalanya bakal terjawab di Arlington awal pagi nanti.
RENTAS7 / FOTO: Japan Football








Leave a Reply