MBPK gotong royong bersih masjid dan rumah kawan

Para murid dan guru bergambar kenangan dalam program berkenaan

KUALA KETIL-Seramai 43 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Batu Pekaka didedahkan dengan aktiviti bergotong royong baru-baru ini.

Menerusi Program Khidmat Bakti, mereka bergotong royong membersihkan Masjid An Huda Kampung Kuala Bakong Merbau Pulas serta rumah salah seorang MBPK iaitu Nurul Zaqreena Yusri.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Batu Pekaka, Siti Rosni Ahmad berkata, matlamat program itu melibatkan 9 guru dan empat guru Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Menurutnya, pada program itu, MBPK bersuai kenal dengan ahli jawatankuasa masjid serta bertaaruf dengan keluarga Nurul Auni.

“Matlamat program ini bertujuan merapatkan jurang perhubungan antara guru, murid, waris dan komuniti setempat.

“Ia juga untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan waris, guru, murid dan komuniti di samping menilai diri dan mengetahui akan tahap pencapaian murid pada setiap masa,”katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah mahu meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang boleh dipelajari dengan bergaul dan berkomunikasi dengan dunia di luar bilik darjah dan luar kawasaki persekitaran mereka.

“Selain itu kita mahu mereka mengambil ikhtibar daripada kelemahan iaitu mengajak mereka melakukan tindakan positif memperbaiki tahap pencapaian mereka dari semasa ke semasa.

“Program ini juga memberi peluang kepada semua untuk berkomunikasi, berinteraksi, berkerjasama dan bertolak ansur di antara satu sama lain,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.