Masjid di Songkhla mula solat Jumaat, Wilayah Patani menyusul

KUALA LUMPUR-Semua masjid dalam wilayah Songkhla, Thailand secara rasmi mula menunaikan solat Jumaat sejak ditangguh buat kali pertama selama sebulan akibat COVID-19, lapor Wartani.

Kebenaran itu diberikan Pejabat Sheikhul Islam, Thailand pada 3 Mei yang lalu selepas mengadakan mesyuarat di antara Majlis Agama Islam Wilayah, Pejabat Gabenor Wilayah dan ahli jawatan kuasa terlibat.

Solat Jumaat di Wilayah Songkhla pada siang tadi dilaksanakan mengikut peraturan langkah-langkah pencegahan COVID-19 termasuk penjarakan sosial dalam saf.

Ketua Jawatankuasa Majlis Agama Islam wilayah Songkla, Sakriya Binsaela berkata, surat keizinan solat Jumaat pada 8 Mei dikeluarkan kepada seluruh masjid dalam wilayah Songkhla setelah bermesyuarat dengan gabenor wilayah.

Para jemaah memakai pelitup separuh muka

Manakala, Gabenor Wilayah Songkhla, Charurawat Kriakorm berkata, pihaknya telah memberikan perintah kepada semua daerah terlibat supaya melakukan langkah-langkah pencegahan terutamanya dalam memeriksa suhu badan para jemaah.

Belum ada kebenaran di Narathiwat

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Majlis Islam Narathiwat, Syafi’i Jehloh berkata, kebenaran solat Jumaat di Narathiwat belum boleh dibenarkan lagi.

Para jemaah yang hadir menjalani pemeriksaan suhu badan di Songkhla hari ini

“Saya dan ahli jawatankuasa itu bertemu dengan gabenor wilayah Narathiwat untuk membincangkan perkara ini.

“Gabenor telah meninjau keadaan dan menganggap risiko wabak itu sangat rawak. Oleh itu tidak dibenarkan lagi untuk melaksanakan solat Jumaat,”katanya.

Patani menyusul, Yala tangguh dua minggu

Dalam pada itu, Wartani melaporkan solat Jumaat di Patani akan dibenarkan mulai 22 Mei depan.

Keputusan itu dicapai setelah Majlis Agama Islam Wilayah dan Gabenor Patani mencapai sepakat bagi tarikh itu.

Berbeza di Yala, solat Jumaat dalam Wilayah itu dilaporkan ditangguh dua minggu lagi ekoaran penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi.

Rentas7.com/Foto Wartani

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.