“Biar saya yang jumpa penduduk”

Abd Nasir Idris kanan menyampaikan sumbangan makanan kepada salah satu keluarga

BALING-Abd Nasir Idris lebih selesa menyampaikan sumbangan kepada penduduk secara berperingkat berbanding menghimpunkan mereka sekaligus dalam satu majlis besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu itu berkata, selain faktor penularan wabak COVID-19, ia juga peluang kepadanya bertemu rakyat dengan lebih dekat.

Beliau yang terkenal dengan gelaran Cikgu Nasir itu mengakui tidak “senang duduk” jika tidak bertemu dengan penduduk di kawasannya.

“Ada orang tanya kenapa Cikgu tak kumpul saja semua penduduk dalam satu majlis untuk bagi bantuan?, ia lebih mudah.

“Jawapan saya selain kerana faktor COVID-19, inilah peluang saya nak jumpa penduduk lebih dekat.

“Jika sebelum PRU-14 saya boleh jumpa orang kampung, tak kan lepas saja PRU nak panggil depa jumpa saya? Tak boleh, saya kena jumpa juga dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat majlis Program Back To School di Masjid Charok Nau siri ke-2 semalam.

Abd Nasir berkata, progam itu menghimpunkan penduduk tiga buah kampung iaitu Kampung Charok Nau, Kampung Kaki Bukit dan Kampung Rambong.

Secara keseluruhan, seramai 390 murid dalam DUN Bayu menerima sumbangan peralatan sekolah menerusi tiga siri program yang dijalankan.

Dalam program yang sama, sebanyak 195 keluarga asnaf menerima sumbangan makanan daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Bayu.

Rentas7.com

 

 

 

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.