Maritim pantau kapal asing sepanjang PKP

LANGKAWI-Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memantau perairan negara dari dicerobohi kapal layar asing terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, pihaknya telah memeriksa lebih kurang 10 buah kapal layar asing di perairan Langkawi, semalam.

Menurutnya, kesemua kapal berkenaan berada di perairan negara ini sebelum arahan PKP bagi menangani COVID-19 dikeluarkan.

“Sebagai langkah pencegahan kru Kapal Layar tidak dibenarkan mendarat dan perlu berada di kawasan kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM).

“Dalam masa yang sama kita berharap agar setiap Marina Kapal Layar tidak menerima kehadiran kapal layar asing dan menyalurkan maklumat berkaitan larangan kemasukan sehingga tamat PKP,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemantauan udara turut dilaksanakan menggunakan aset udara di sekitar kawasan pemantauan sehingga ke Pulau Perak.

“Didapati hanya beberapa bot nelayan menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ini memberi petunjuk positif bahawa komuniti maritim semakin sedar kepada arahan PKP yang telah memasuki fasa 2,”katanya.

Terdahulu, Maritim Malaysia melaksanakan operasi bersepadu disertai oleh Pasukan Polis Marin, JLM dan Pejabat Kesihatan Langkawi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.