Malaysia gantung visa penduduk Hubei, Wuhan

PUTRAJAYA– Malaysia menggantung semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei berkuat kuasa serta merta.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan  imigersen iaitu kemudahan tanpa visa (enTRY), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival),e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari kawasan berkenaan.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 20I9 di negara China khususnya di wilayah Hubei tersebut dan ia berkuatkuasa serta merta.

“Kemudahan imigresen ini akan diberikan setelah keadaan kembali normal. Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China,”kata kenyataan itu, hari ini.

Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah-langkah pencegahan telah diambil kerajaan sejak timbulnya kes virus tersebut di China pada minggu lalu.

“kerajaan  telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat para pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan tersebut dari merebak dengan meluas.

Menurut kenyataan itu, semua pihak diingatkan  tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan novel koranavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.