Kilang Memproses Ubat Batuk Tiruan Diserbu Penguat kuasa KPDN

PUTRAJAYA– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis tempat memproses dan menyimpan pelbagai barangan bahan-bahan mentah serta botol-botol pembungkusan untuk menghasilkan produk ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan pada 15 Disember 2023.

Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi bersepadu yang dilakukan oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) adalah hasil daripada aduan yang diterima serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KKM selama tiga bulan sebelum serbuan.

 “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan memproses ubat batuk yang menggunakan jenama ubat batuk terkenal yang disyaki tiruan.

“Kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516.00,”katanya dalam satu kenyataan pada 5 Januari 2024.

Beliau berkata, pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu wanita, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 38 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

“Jika disabitkan kesalahan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

“Hasil tindakan awal, sebanyak 56 akaun telah dibekukan melibatkan sembilan entiti di mana empat daripadanya merupakan akaun syarikat manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta.

“Selain itu, dua bangunan industri/ kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan telah disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

” Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366]. Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 366, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Menurutnya, KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti memproses dan menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya berkaitan barangan ubat-ubatan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli ubat-ubatan sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri.

KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran berikut: Whatsapp ke 019- 279 8000;

ii. Portal e-Aduan http://eaduan.kpdn.gov.my

iii. Call Centre 1-800-886-800, dan;

iv. Aplikasi T

elefon Pintar Ez ADU KPDN.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.