Calon PN Baling, Ustaz Hassan suntik semangat jentera muda

Golongan pemuda memasang bendera PN di Kampung Tembak B malam tadi

BALING -Bendera Perikatan Nasional (PN) teguh dipacak golongan muda di daerah ini, serentak dengan nama calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Baling diumumkan malam tadi.

Aura calon PN, Ustaz Hassan Saad (gambar) yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Baling ternyata menaikkan semangat golongan muda menyumbang keringat dengan memasang bendera di sepanjang jalan raya dan kampung.

Antaranya ialah di kawasan Pekan Kuala Ketil, Taman Desa Bidara, Kampung Batu 1 dan Kampung Tembak B, Bakai, Ulu Tawar, dan sekitar daerah Baling.

Golongan muda sangup bersengkang mata demi memastikan kemenangan kepada PN

Golongan pemuda menyifatkan Ustaz Hassan sebagai seorang yang sangat layak dihormati.

Bukan kerana imejnya berkopiah, tetapi golongan pemuda di Baling selesa dengan sikapnya yang merendah diri bila berhadapan dengan masyarakat.

Beliau berpengetahuan luas dalam ilmu agama sering menjadi rujukan orang kampung bagi pelbagai perkara termasuk mengundangnya bagi memimpin Majlis Tahlil termasuk kuliah agama.

“Saya rasa Ahli Parlimen Baling perlu ditukarkan kepada Ahli Parlimen yang baru.

“Kita cuba pemimpin yang bersih pula untuk tadbir Baling.

“Tengok nak jadi gena (macam mana) pulak. Selalunya bagi orang bagus jadi koi molek (semakin baik) la,”kata seorang pemuda berusia 24 tahun dari Baling ingin dikenali sebagai Naim.

‘Geng muda’ pacak bendera PN tanda sokongan kepada Ustaz Hassan Saad

Sementara itu, penyokong PAS dari Kampung Tembak B dikenali sebagai Alias berkata, Ustaz Hassan mempunyai cukup cita rasa pengundi untuk menawan Parlimen Baling.

“Insha Allah kali ni saya rasa PAS dan PN akan menang di Baling,”katanya.

Mereka saling bantu membantu memasang bendera

Seorang lagi, Jamil Zakaria,29, dari Sungai Limau Baling berkata, Ustaz Hassan mempunyai ketokohan serta seorang yang berkaliber dalam kepimpinan.

“Dalam PAS ketokohan Ustaz Hassan sangat dirasai. Saya rasa sudah sampai masanya rakyat Baling beri peluang kepada Ustaz Hassan kali ini,”katanya.

Setakat ini PN, BN dan PH akan bertanding di Parlimen Baling pada 19 November ini.

Ustaz Hassan hanya tewas tipis kepada penyandang Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada PRU-14 dengan majoriti 1,074.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.