Kedah salur bantuan khas kepada keluarga PKPD

Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Sebanyak 2,767 keluarga terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Muda akan menerima bantuan khas daripada kerajaan negeri Kedah.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka bakal menerima bantuan khas wang tunai RM100 bagi setiap keluarga serta makanan basah yang merangkumi dua ekor ayam, dua kilogram ikan, sayur-sayuran dan telur sepapan.

Menurutnya, peruntukan khas itu berjumlah RM373,545.

“Bekalan makanan basah akan mula dibekalkan mulai pagi esok melalui petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana ( PKOB ) dan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di Taman Bandar Baru, Taman Cahaya dan Lembah Permai PKNK dan Kampung Sireh.

“Kerajaan menyedari kesukaran mendapatkan makanan basah dan bekalan wang tunai berikutan ada kawasan terbabit PKPD tidak mempunyai perkhidmatan bank atau ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penduduk terlibat telah kehabisan bekalan wang tunai selepas dua minggu dikenakan PKPD.

“Ini menimbulkan masalah untuk membeli keperluan selain daripada makanan yang dibekalkan melalui bakul makanan PKOB.

“Semua bantuan makanan basah dan wang tunai ini akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda yang diketuai oleh Haji Abdullah Hashim,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.