Sabah catat kluster baru, tujuh kes positif COVID-19

LAHAD DATU– Kluster Benteng LD dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri itu, malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, kluster baru itu dikenal pasti hasil saringan tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 28 Ogos lalu.

Menurutnya, seramai 50 orang tahanan telah menjalani ujian saringan.

“Daripada jumlah ini, tujuh kes dikesan positif COVID-19 dan 43 individu adalah negatif.

“Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dan satu warganegara Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kesemua kes positif itu tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan. Punca jangkitan adalah dalam siasatan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.