Kantoi sorok dadah dalam perahu

PPM berjaya menahan dua penjenayah tersebut

SANDAKAN– Taktik lelaki tempatan bersama rakannya warga Filipina menyembunyikan muatan dadah dalam sebuah perahu kayu dikantoikan Pasukan Polis Marin (PPM).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPN Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, lelaki tempatan berusia 38 dan lelaki Filipina berusia 41 tahun itu memiliki dadah di perairan laut Tabangka, Sandakan.

Menurutnya, pegawai dan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan awal pagi tadi bertindak menahan dua lelaki tersebut selepas mendapati perahu mereka dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan badan telah menemukan satu beg dalam simpanan suspek dan pemeriksaan lanjut didapati mengandungi lipatan timah dan beberapa paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine serta pemetik api.

“Anggaran nilai rampasan dalam tangkapan ini ialah RM13,800 termasuk bot dan enjin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki tersebut dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPM Sandakan telah menahan dan memeriksa sebuah lagi bot laju jenis kayu menggunakan enjin sangkut dijuragani oleh seorang lelaki warga Filipina

Menurutnya, lelaki itu cuba masuk perairan Malaysia untuk memasarkan hasil laut di kawasan laut Pulau Berhala.

“Pemikik bot tersebut diberi amaran keras dan kemudian diusir keluar dari perairan Malaysia,”katanya.

Sebarang maklumat jenayah maritim di Sabah boleh disalurkan melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.