Kajian semula UPSR dan PMR perlu menyeluruh – Ahli Parlimen Baling

YB Ustaz Hassan Saad

BALING – Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Hassan Saad, menegaskan bahawa pendidikan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai soal peperiksaan, sebaliknya perlu difahami sebagai proses pembangunan insan dan pembinaan negara.

Menurut beliau, sebarang kajian semula terhadap UPSR dan PMR mesti dilakukan secara menyeluruh serta berasaskan data yang kukuh, selain mengambil kira jurang ketara antara bandar dan luar bandar.

“Jangan sampai niat untuk mengurangkan tekanan akademik akhirnya mewujudkan ketidaksamaan baharu.

“Pelajar yang mempunyai akses kepada sumber lebih baik akan terus ke hadapan, manakala pelajar luar bandar berisiko tercicir tanpa ukuran yang adil,” katanya ketika membahaskan isu pendidikan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau turut menekankan bahawa asas pendidikan yang kukuh bermula seawal usia tujuh tahun, selaras dengan panduan dalam Islam.

Sementara itu, usia empat hingga enam tahun merupakan fasa persediaan sebelum memasuki alam persekolahan secara formal.

Tambah beliau, dasar pendidikan negara perlu menumpukan kepada pembentukan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, bukan mengejar keputusan peperiksaan semata-mata.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.