Bukan warganegara dapat vaksin COVID-19

PUTRAJAYA– Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam telah bersetuju agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini akan turut melibatkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia secara percuma.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKKAV) dalam kenyataan berkata, ia akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Menurut kenyataan, selari dengan tema Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan “tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat”, pemberian vaksin secara percuma kepada golongan berkenaan.

“Ia mengambil kira faktor-faktor iaitu persekitaran selamat serta bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin.

“Kedua, dalam tempoh pandemik, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan, ketiga ialah rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan),”katanya hari ini.

Kenyataan berkata, ia turut mengambil kira faktor kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

“Seterusnya pekerja asing yang telah menjadi sebahagian daripada komuniti
masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara; dan layanan oleh sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut,”katanya.

Kenyataan berkata, keputusan ini akan memudahkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara dan membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

“Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepadawarganegara Malaysia terlebih dahulu.

“Maklumat dan jadual pemberian
vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak,”katanya.

Menurut kenyataan, keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin COVID-19 yang diperolehi Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara Malaysia yang layak menerimanya.

“Ia juga adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin
kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti
kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik COVID-19,”katanya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.