Gagal serah nama sokongan, YDPA nasihatkan Anwar

KUALA LUMPUR– Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah menasihati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghormati Perlembagaan Negara.

Menurut kenyataan Istana Negara, ini kerana Anwar Ibrahim gagal mengemukakan senarai Ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberikan sokongan kepadanya.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan kenyataan tersebut,”kata kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu kenyataan berkata, YDPA telah menasihati Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah kenyataan, sesi mengadap sepatutnya berlangsung pada 22 September namun ditangguhkan ekoran kegeringan YDPA.

Dalam masa sama, Istana Negara berkata, YDPA turut mengambil berat perkembangan semasa penularan COVID-19 khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya mulai esok.

Justeru itu, YDPA menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat bertenang dan berdipslin menjaga kesihatan diri dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19.

“Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian COVID-19 serta kewujudan beberapa kluster baru sejak 1 Oktober lalu, Al Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan bersama dan kesejahteraan negara.

“Adalah dimaklumkan juga, lanjutan pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuatkuasa sehingga Tarikh akan diumum kelak.

“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan penularan COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.