Dr. Salmee perlu bertanggungjawab atas tuduhan

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menuntut isu dibawa ADUN Kota Siputeh Dr Salmee Said berhubung dakwaan tuntutan RM3 hingga RM4 juta oleh konsultan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) kepada sebuah syarikat kontraktor sebagai syarat untuk membina asrama  dilaporkan segera kepada SPRM.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus, isu dibawa Salmee dalam Sidang DUN Kedah minggu ini perlu diselesaikan memandangkan ia menimbulkan persoalan banyak pihak.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya Salmee membawa perkara ini kepada SPRM.

“Apabila ada tuduhan melibatkan sebuah institusi negeri kita, perkara ini bukan main-main dan sememangnya tidak boleh dibawa main,”katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, kenyataan Salmee sudah mendatangkan kegusaran rakyat Negeri Kedah dan wajar untuk isu itu dibersihkan sama ada dengan permohonan maaf di atas kekhilafan fakta atau bawakan dakwan itu kepada siasatan SPRM.

“Dr Salmee selepas habis Sidang DUN tidak boleh diam begitu saja. Bila ada tuduhan, you ( kamu) perlu bertanggungjawab.

“Imej UniSHAMS yang merupakan institusi di bawah kerajaan negeri serta universiti yang membawa nama bekas Sultan Kedah perlu dijaga dengan baik.

“Jika ada isu kurang baik yang timbul, cepat laporkan kepada SPRM supaya siasatan serta tindakan kepada pihak terlibat diambil secepat mungkin,”katanya.

Sidang DUN minggu ini panas apabila Salmee membangkitkan dakwaan kosultan UniSHAMS meminta RM3 juta hingga RM4 juta kepada syarikat pembinaan sebelum diberi kebenaran untuk membina asrama universiti tersebut.

Sebaik mendegar kenyataan itu, Sanusi menasihati Salmee supaya membawa bukti dan laporkan kepada SPRM.

Tegas pemimpin itu, tuduhan dilemparkan Salmee bagi memberikan gambaran buruk kepada pihak lain tanpa bukti amatlah berat dan tidak wajar dilakukan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.