Wartawan RENTAS7 Patani: Fatimoh Ja’ae
PATANI DARUSSALAM -Ramadan tahun ini menjadi detik paling dirindui oleh seorang pemimpin anggota pejuang pembebasan apabila jasad ibunya tidak dapat dipeluk dan wajahnya tidak lagi dapat ditatap buat kali terakhir selepas pemergiannya.
Wabatopatan Ismail @ (K.M), yang diburu oleh pihak kerajaan Thailand, tidak dapat pulang ke tanah airnya di Patani Darussalam berikutan waran tangkap yang telah dikeluarkan terhadapnya sejak sekian lama.
“Ibunda saya Allahyarhamah Aminah Ismail meninggal dunia pada Ogos 2025 kerana keuzuran. Perkhabaran itu saya terima pada pagi hari pemergiannya melalui panggilan telefon daripada adik.
“Namun saya tidak dapat pulang kerana kerajaan Thailand telah mengeluarkan waran tangkap sekiranya saya kembali menjejakkan kaki ke tanah air,” katanya kepada media tempatan Patani, RENTAS7.
Beliau kini menetap di Eropah bersama keluarga dan telah diberikan kerakyatan oleh sebuah negara di sana.
Katanya, setiap kali Ramadan, suara ibunya pasti singgah di hujung talian telefon, mendoakan kesejahteraan seorang anak yang jauh di perantauan.
Menurutnya, walaupun ibunya baru sahaja meninggal dunia, hakikat perpisahan itu sebenarnya telah berlaku lebih awal, iaitu lebih 20 tahun lalu.
“Selama lebih dua dekad saya tidak dapat kembali ke Patani Darussalam kerana diburu oleh pihak kerajaan yang menjejaki para pemimpin pejuang.
“Sedih dan kecewa itu memanglah ada, namun inilah adat dalam perjuangan. Pertemuan di dunia hanya sementara, yang kekal adalah pertemuan di syurga sana.
“Perkara ini sudah menjadi lumrah bagi kami para pejuang. Ketika ayah saya meninggal dunia 10 tahun lalu, saya juga tidak dapat menziarahinya, begitu juga dengan kematian ahli keluarga lain yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya beliau pulang ke tanah air, pihak berkuasa sememangnya telah bersiap sedia untuk menahannya.
“Saya dimaklumkan bahawa pada hari ibu meninggal dunia, polis dan tentera dalam jumlah yang ramai telah membuat sekatan jalan raya di hadapan rumah ibu.
“Mungkin mereka menjangkakan saya akan pulang. Namun jika saya benar-benar pulang, tidak perlu menunggu di hadapan rumah, di sempadan lagi saya sudah pasti ditahan,” katanya.
Beliau yang memimpin Patani United Liberation Organization (PULO) selaku presiden berkata, pihaknya berharap kedamaian di selatan Thailand dapat dicapai melalui proses damai yang dikendalikan Malaysia, melibatkan kerajaan Thailand dan kumpulan-kumpulan yang terlibat agar ia dapat berlangsung dengan lancar dan berkesan.
RENTAS7








Leave a Reply