Datang lebih awal ke masjid walaupun sudah berusia 84 tahun

PATANI– Pada usia 84 tahun, seorang warga emas masih setia terus menabur bakti di masjid.

Malah, lelaki berkenaan adalah antara jemaah paling awal datang ke masjid sebelum masuknya waktu solat.

Hamad Dawi (gambar) dari Kampung Naka Hilir di sini akan menunggang motosikal ke Masjid Darussalam yang terletak lebih 200 meter dari rumahnya.

Sementara menunggu azan dilaungkan, warga emas  yang bertugas sebagai khatib itu akan melakukan kerja-kerja amal di masjid.

Beliau juga sering melaungkan azan dan mengetuai solat berjemaah sekiranya bilal atau imam tiada di kampung.

Hamad berkata, beliau telah diberi amanah bertugas di masjid berkenaan sejak berusia awal 20 an.

“Pada mulanya saya dilantik sebagai petugas (Ahli Jawatankuasa).

“Lama kelamaan pihak masjid memberikan amanah dengan melantik saya sebagai khatib,”katanya kepada Rentas7.com.

Di Masjid Darussalam inilah Hamad Dawi berkhidmat

Hamad berkata, datang awal ke masjid untuk berjemaah solat fardu lima waktu sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya.

“Jika tidak ada keuzuran, saya akan datang berjemaah di masjid bersama orang kampung.

“Tetapi baru-baru ini, hampir tiga bulan saya tidak dapat berjemaah kerana tulang pinggul retak,”katanya yang menternak kambing di kampung.

Ahmad Dawi berkata, dirinya terlantar sakit bermula Ogos lalu akibat terjatuh.

“Alhamdulillah, sekarang ini dah semakin lega, dapatlah ke masjid seperti biasa,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.