Cari formula baru bantu rakyat

SUNGAI PETANI – Bajet 2023 bakal dibentangkan pada Oktober depan perlu mengambil kira kesusahan rakyat terutamanya bebanan mereka dalam menghadapi kenaikan harga barang.

Pendukung Parti Warisan Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kerajaan perlu mencari formula lebih berkesan dalam membantu rakyat negara ini.

“Formula selalu digunakan ialah menyalurkan bantuan tunai peringkat seperti BRIM dan BKM .

“Tetapi kita lihat bantuan seperti itu seiring dengan formula baru supaya tidak memberikan tekanan berlebihan kepada rakyat,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, tidak dinafikan bantuan tunai memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat tetapi ia belum membantu sepenuhnya.

“Kita berharap supaya kerajaan menggunakan formula baru. Antara cadangan kita ialah setiap keluarga berkelayakan dikecualikan daripada bayaran yuran sekolah, bayaran cukai pintu, sewa premis, cukai jalan dan beberapa perkara lain difikirkan perlu untuk tempoh yang tertentu.

“Contohnya keluarga berpendapatan RM1500 dikecualikan daripada bayaran yuran sekolah anak-anak. Sedikit sebanyak wang ingin digunakan untuk bayaran sekolah dapat digunakan untuk keperluan lain.

“Selain itu, saya ingin melihat keluarga yang dikenal pasti kewangan mereka di tahap ‘nazak’ dilanjutkan meratorium. Ini hanya daripada beberapa cadangan saya,”katanya.

Beliau berkata, bajet dibentangkan perlu memberikan fokus utama kepada suntikan kewangan terhadap sektor pertanian dan penternakan.

“Jadikan krisis makanan dunia yang berlaku khususnya pada isu gandum sebelum ini sebagai satu pengajaran berguna.

“Walaupun negara kita dilaporkan tidak terkesan dengan tindakan India yang mengeluarkan larangan mengeksport gandum pada Mei lalu, kita tidak boleh bersikap sambil lewa.

“Kebergantungan kita kepada sebanyak 85 peratus gandum Australia dan 15 peratus dari Amerika Syarikat dan Ukraine bila-bila boleh disekat jika situasi dunia diambil kira.

“Kerajaan perlu memastikan sektor pertanian dan perikanan pada tahun depan dapat ditingkatkan sekaligus menjana ekonomi rakyat serta menampung keperluan makanan negara,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.