Cabaran warga pendidik murid pendidikan khas

ALOR SETAR-Tugas sebagai guru diketahui cukup mencabar terutamanya dalam mendidik para pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Namun tahukah anda? menjadi guru pendidik kepada murid bekeperluan khas (MBK) jauh lebih mencabar.

Ia jauh lebih mencabar berbanding mendidik murid aliran perdana.

Bagi menyelami cabaran para guru pendidikan khas, Rentas7.com menemu bual seorang guru dalam bidang berkenaan.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan Siong, Baling Kedah, Siti Rosni Ahmad berkata, pendidik kepada MBK perlu mempunyai mempunyai jiwa yang tenang dan kuat semangat.

“Ini kerana murid-murid berkeperluan khas ini sikap mereka sukar dijangka dan mudah berubah-rubah.

“Malah dalam masa seminit pun macam-macam boleh berlaku,”katanya kepada Rentas7.com.

Rosni dua kiri dalam satu program MBK di sekolah

Beliau berkata, MBK terdiri daripada pelbagai kategori.

“Antaranya ialah sindrom down, hyperaktif, cereberal palsy, terencat akal, slow leaner (lembam) dan disleksia.

“Tetapi paling ramai di sekolah saya ialah murid yang mengalami disleksia,”katanya.

Jelasnya, mendidik murid contohnya seperti lembam antara cabaran yang menuntut kreativiti guru ketika mengajar.

Mendidik murid-murid bekeperluan khas perlu mempunyai jiwa yang kental

“Mereka ini senang untuk dikendalikan para guru.

“Tetapi kita masih tidak mempunyai kepuasan ketika mengajar kerana amat mudah sangat untuk lupa apa yang diajar.

“Contohnya kita mengajar mengambil wuduk, tetapi MBK tetap mengambil wuduk dengan cara mereka. Kita tidak boleh paksa murid-murid ini ikut cara kita jika tidak mereka memberontak,”katanya.

Tambahnya, bagi memperkasakan dan mencungkil potensi diri MBK, mereka juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti luar sekolah seperti kem ibadah dan sebagainya.

Murid bekeperluan khas turut didedahkan dengan aktiviti luar

Rosni berkata, disebabkan sikap MBK yang istimewa, para guru diberikan kebebasan sewaktu mengajar.

“Nazir dan kementerian memberikan kebebasan kepada guru dalam mengajar. Jika kita ajar mereka tidak mahu cara kita, guru perlu mengikut rentak dengan mengikut cara murid.

“Suatu hari mereka akan boleh dan akan faham juga tetapi lambat,”katanya.

Rosni berkata, para guru turut disaran memakai baju pendidikan jasmani ketika sesi kelas.

Ini kerana, ia bagi memudahkan pergerakan guru sekiranya murid berkelakuan luar kawalan.

“Keberangkalian murid terutamanya bagi yang terlampau hyperaktif amatlah tinggi. Pelajar jenis ini memang berlari begitu laju.

“Sekiranya guru memakai bukan baju pendidikan jasmani, pastinya sukar untuk mengejar mereka,”katanya.

Meskipun mempunyai larian yang laju, bakat mereka sukar diketengahkan dalam bidang olahraga

“Tetapi bagi mewakili acara olahraga pelajar hyperaktif ini sukar diambil kerana mereka tidak dapat fokus.

Murid hyperaktif mempunyai larian yang laju namun mereka mudah hilang fokus

“Sebagai contohnya, ketika berlari dalam acara seratus meter dan hampir menang, dia (murid) boleh berhenti dan bersalaman dengan orang lain. Ada yang mahu guru berlari sama,”katanya.

Namun katanya, para pelajar hyperaktif tetap tidak dipinggirkan dalam acara.

“Sebab itu apabila sukan daerah atau negeri kita lebih utamakan guru pendidikan khas sebagai pengadil kerana mereka lebih memahami gelagat dan telatah MBK,” katanya yang telah berkhidmat di sekolah SK Siong sejak 2017.

Rentas7.com

Bersambung..

(Siri 2 Cabaran warga pendidik Murid Bekeperluan Khas akan disiarkan pada 7 Mei ini (Khamis)

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.