Buka semula kes siasatan Adib

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menuntut kerajaan membuka segera kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kenyataan pihak kerajaan bahawa kes tersebut ditutup sementara sehingga mendapat bukti baru amatlah mengecewakan semua pihak khususnya keluarga mangsa.

“Untuk apa Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mengeluarkan kenyataan sebegitu? Mengapa dia mendahului menteri di bawah Kementerian Dalam Negeri?

“Apapun, kenyataan beliau amat mengecewakan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan. Tiada alasan patut diberikan untuk menutup kes ini walau hanya sementara. PUTRA menuntut kerajaan tidak main-main dan buka semula siasatan segera,”katanya.

Mustaffa berkata, alasan menunggu bukti baharu amat tidak munasabah.

“Kejadian itu berlaku bukan sahaja secara terbuka, tetapi telah tular di media sosial.

“Apakah kita terlalu dhaif atau lemah sehingga semua penjenayah yang membunuh Adib terlepas hingga hari ini?

“Mahkamah Koroner melalui keputusan inkues yang telah mendengar keterangan daripada puluhan saksi, termasuk mengambil kira bukti di tempat kejadian juga telah menyatakan mangsa dipukul,”katanya.

Beliau mempersoal apakah semua bukti yang telah dinyatakan di dalam mahkamah belum cukup untuk mensabitkan penjenayah terlibat.

“Jika belum cukup pun bukti, bukan dengan bertindak menutup kes sehingga dapat bukti baru.

“PUTRA menuntut soal nyawa tidak dibuat main. Jangan sehingga membangkitkan kemarahan rakyat seperti mana berlaku di bawah zaman Pakatan Harapan (PH),”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.