Berbulan-bulan tunggu wang khairat kematian

Disediakan Rentas7.com

 

ALOR SETAR- Kelewatan pemberian wang khairat kematian daripada kerajaan negeri kepada penduduk tidak seharusnya berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, masih ada penduduk belum menerima wang berkenaan sejak Jun lalu.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepadanya, kelmarin.

“Saya pelik, khairat kematian kita bagi untuk urusan pengebumian, untuk selesaikan jenazah.

“Tetapi jika dari bulan enam kita tak dapat, tapi bulan 12 baru dapat duit itu bukannya untuk pengebumian. Tetapi dah jadi harta pusaka.Waris-waris kena faraid,”katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri dituntut memudahkan sistem penyampaian wang berkenaan termasuklah Tabung Khas Wanita Negeri Kedah supaya ia tidak tersasar dari matlamat sebenar.

Tambahnya, kerajaan negeri dituntut mencontohi sistem kafalah seperti mana dilaksanakan pemerintahan Pakatan Rakyat.

“Saya pun pernah jadi Penyelaras DUN Bayu. (Waktu itu) kita bagi wang tambahan kepada penyelaras dan wakil rakyat supaya jika ada kematian, duit tunai dapat terus dibawa untuk urusan pengebumian,”katanya.

Dalam pada itu, Abd Nasir berkata, kerajaan negeri perlu menyediakan bajet bagi penempatan semula mangsa banjir termasuk membina tebatan banjir khususnya di DUN Bayu.

Katanya, masalah banjir di kawasan berkenaan masih tidak dapat dilesesaikan walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.