Benteng pertahanan jadi tumpuan Brad Maloney

Empat pemain baru perkasakan benteng pertahanan skuad B-23

KUALA LUMPUR-Barisan pertahanan skuad Bawah 23 tahun (B-23) dalam menghadapi Piala AFF B-23 2022 di Kemboja bulan ini menjadi perhatian utama ketua jurulatih Brad Maloney.

Sebaik skuad kendaliannya seri 1-1 menentang Sabah pada perlawanan persahabatan baru-baru ini, Brad Maloney telah memanggil empat pemain tambahan pada saat-saat akhir.

Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang bermain di posisi penjaga gol dan tiga lagi pemain pertahanan iaitu Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, dan Harith Haiqal Adam Afkar menjadi muka baru yang akan dibawa ke Phom Penh Jumaat ini dan kesemuanya telah melaporkan diri malam tadi.

Mereka adalah tonggak utama yang membawa Malaysia B-23 muncul juara Kumpulan J dalam kelayakan Piala Asia di Mongolia sekaligus layak secara merit di Uzbekistan tahun ini.

Sebagai persiapan terakhir, skuad kendalian Brad Maloney akan menguji KL City FC dalam perlawanan persahabatan malam esok.

Piala AFF B-23 2022 akan membuka tirai mulai 14 hingga 26 Februari ini.

RENTAS7/FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.