Belanjawan 2021 utamakan bekalan vaksin COVID-19 untuk rakyat

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik dan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman peruntukan RM935,421,200 kepada MOSTI
untuk tahun 2021 melibatkan RM510,195,600 perbelanjaan mengurus
dan RM425,225,600 bagi perbelanjaan pembangunan.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, Belanjawan 2021 kali ini mengutamakan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat secara inklusif.

Menurutnya, ia termasuklah dalam hal persediaan akses mendapatkan vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan dengan segera apabila ia sedia di pasaran kelak selain untuk program kajian dan pembangunan vaksin dalam negara.

“Belanjawan bersifat pemulihan akibat pandemik COVID-19 ini dilihat mampu memantapkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat yang terkesan sepanjang tahun ini.

“Selain itu, Belanjawan 2021 juga membolehkan MOSTI untuk terus komited melonjakkan peranan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dalam negara serta bagi merancakkan aktiviti penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan,”katanya semalam.

Khairy berkata, pada masa yang sama Belanjawan 2021 juga menumpukan usaha mentransformasikan negara ke arah berteknologi tinggi melalui pendekatan strategik automasi dan pendigitalan yang merupakan teras bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Vaksin

Beliau berkata, komitmen kerajaan dengan peruntukan melebihi RM3 bilion bagi membolehkan Malaysia memperoleh dan membangunkan kepakaran vaksin dalam negara.

“Ini bagi memastikan jaminan akses bekalan vaksin COVID-19 dapat diperoleh dengan kadar segera, selamat dan sempurna,”katanya.

Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan (R&D&C)

Beliau berkata, MOSTI mendokong usaha perkembangan sains dan teknologi melalui penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) dengan
peruntukan melebihi RM158 juta dengan tumpuan diberikan kepada penyelidikan pembangunan eksperimental.

“Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 telah mengenal pasti 10 Pemacu Sosio-ekonomi dan 10 Pemacu Teknologi bagi menetapkan bidang keutamaan dalam penyelidikan pembangunan eksperimental,”katanya.

Malaysia Techlympics dan Science Space

Khairy berkata, MOSTI juga akan melaksanakan Malaysia Techlympics dan Science Space dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bidang
kecerdasan buatan (AI) dan robotik dalam kalangan belia.

“Inisiatif ini dijangka mampu menyemarakkan minat masyarakat dalam STIE serta memupuk pemikiran saintifik bagi mengaplikasikan pelbagai teknologi baharu yang bakal mengubah gaya hidup di masa hadapan,”katanya.

Perusahaan Sosial

Beliau berkata, kerajaan akan menjalankan program pembangunan perusahaan sosial dengan peruntukan RM20 juta kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

“Di samping itu projek rintis pendaftaran e-Perolehan kepada perusahaan sosial yang mempunyai Sijil Program e-Perolehan Impak Kerajaan daripada MaGIC dan agensi terpilih yang lain untuk menjadi pembekal kepada Kerajaan.

“Dengan inisiatif ini, perusahaan
sosial boleh membekal barangan dan perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM20 juta setahun.

“Ini bukan sahaja akan membantu ke arah mengarusperdanakan perusahaan sosial tetapi juga menyokong solusi keluaran tempatan,”katanya.

Startups Teknologi

Menurutnya, dalam usaha Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi dan menyumbang peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan akan terus memberi sokongan dan peruntukan kepada startups menerusi dalam Bajet 2021.

Galakan Cukai

Khairy jugak berkata, bagi mewujudkan ekosistem penyelidikan yang lebih kompetitif, galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D berasaskan bukan sumber akan diperkenalkan semula dan galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D oleh institusi penyelidikan awam.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.