Awang Memali “tinggalkan” penduduk

dav

ALOR SETAR-  “Awang” Memali yang sudah dua tahun merosakkan tanaman penduduk sekitar Mukim Siong dalam DUN Bayu, Baling kini tiada lagi di kawasan itu.

Ini kerana, gajah jantan itu telah dipindahkan Perhilitan ke Pusat Konservasi Gajah Royal Belum, Perak, semalam selepas ditangkap Khamis lalu.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah itu berusia 15 tahun dengan berat dua tan.

“Kita membuat buruan terhadap gajah ini dari semasa ke semasa. Ia merosakkan tanaman penduduk sejak dua tahun lalu.

“Tetapi baru sekarang kita berjaya menangkapnya,”katanya kepada pemberita pada sidang media di Kampung Charok Puteh, semalam.

Anggota Perhilitan bergambar kenangan bersama penduduk dan semua pihak yang hadir pada operasi semalam

Terdahulu, seramai 35 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi permindahan gajah dan ia dibantu dengan dua ekor gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Operasi bermula kira-kira jam 9 pagi itu turut dibantu pelbagai agensi termasuk penduduk kampung sekitar.

Beliau berkata, banyak faktor yang menghalang tangkapan dibuat sebelum ini.

“Kita melihat kepada bentuk muka bumi dan kawasan-kawasan untuk kita menangkap gajah tersebut. Perkara paling penting adalah keselamatan anggota Perhilitan,”katanya.

Jamalun berkata, gajah berkenaan berada dalam keadaan sihat memandangkan banyak sumber makanan di kawasan itu.

“Di sini banyak sumber makanannya seperti pisang dan kelapa sawit dan banyak tumbuh-tumbuhan lain. Daripada struktur badan, ia seekor gajah yang sihat,”katanya.

Beliau berkata, hasil pemerhatian dibuat, gajah berkenaan akan keluar ke kawasan kampung pada waktu malam dan masuk semula ke kawasan hutan simpan pada waktu siang memandangkan jarak kedua lokasi itu terletak berhampiran.

“Dalam hutan simpan, polisi kita memang tak akan tangkap, jika diluar kawasan itu baru gajah akan ditangkap.

“Malam ia keluar dan siang masuk semula ke dalam hutan. Tetapi kali ini haiwan itu tidak masuk-masuk kembali ke dalam hutan tersebut,”katanya.

Jamalun berkata, punca gajah itu berkeliaran di kawasan penduduk disebabkan aktiviti pembalakan di habitatnya.

Sementara itu, ADUN kawasan Bayu, Abd Nasir berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak terlibat lebih-lebih lagi kepada Perhilitan yang bertungkus lumus menangkap haiwan terbabit.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat hari operasi ini berjaya ditamatkan dengan kerjasama semua pihak.

“Saya sebagai ADUN, besyukur kepada ALLAH kerana masalah selama dua tahun ini telah berjaya diselesaikan. Penduduk tidak lagi perlu takut untuk keluar bekerja,”katanya.

Kepuasan jelas terpancar di wajah anggota Perhilitan yang berjaya menangkap dan memindahkan gajah berkenaan

Manakala penduduk, Shafie Awang,54, berkata, ketiadaan gajah berkenaan akan membolehkan penduduk meneruskan aktiviti pertanian terutamanya menanam pokok kelapa sawit.

“Ada penduduk yang telah menukar tanaman kelapa sawit kepada getah selepas dirosakkan gajah . Selepas ini penduduk sudah boleh kembali kepada tanaman kelapa sawit seperti biasa,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.