APMM teruskan usaha cari tiga mangsa masih hilang

BACHOK– Tiga lagi mangsa bot kelas A TRF 641 yang terbalik di perairan Bachok Kelantan sedang giat dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritin Malaysia (APMM), hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan sebuah pesawat Bombardier CL 415MP, dan bot Maritim iaitu Bot Penyelamat 7, Penggalang 18, Kilat 27 dan 28.

Timbalan Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Leftenan Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan, berkata, usaha mencari baki tiga mangsa yang masih belum ditemui telah digerakkan.

“Kita telah menghantar penyelam untuk mencari mangsa yang masih hilang dengan sektor pencarian meliputi kira-kira 5 batu nautika dari kawasan bot nelayan yang terbalik,” katanya di sini hari ini.

Keadaan bot yang terbalik dalam kejadian berkenaan

Dalam insiden jam 3 petang semalam, seramai 20 individu keluar untuk memancing dan mencadat sotong.

Bagaimanapun, laut yang bergelora serta angin kencang menyebabkan bot berkenaan terbalik pada kedudukan kira-kira 12 batu nautika dari Kuala Kemasin, Bachok.

Kejadian mengakibatkan lima mangsa ditemui lemas dan 12 lagi selamat.

Maritim Malaysia meminta kerjasama nelayan dan komuniti maritim setempat untuk segera menghubungi hotline 999 sekiranya mempunyai maklumat yang boleh membantu pasukan SAR mengesan mangsa yang masih hilang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.