Ahli politik perlu contoh terbaik kepada rakyat

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR – Kepimpinan parti politik dinasihati menjadikan politik tanah air lebih subur tanpa fitnah dan sengketa jahat.

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, semua ahli politik perlu menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat supaya menjadi ikutan.

“Politik membalas dendam, politik fitnah dan du domba, politik mengungkit hal-hal lama, menjenayahkan individu-individu tidak sehaluan perlu dihentikan.

“PAMM tidak mahu teladan buruk ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat yang ada akhirnya menjadi ikutan generasi akan datang hingga mengoncang kestabilan politik,”katanya.

Beliau berkata, ahli politik mudah untuk masuk syurga dalam masa mudah untuk masuk neraka.

“Jika jalankan tugas dengan amanah, tidak menipu rakyat dan tidak bermain politik seperti saya sebutkan tadi, maka mereka yang muslim boleh mudah-mudah ke syurga.

“Tetapi jika sebaliknya, mereka lebih mudah menempah masuk ke dalam alam yang penuh azab. Nasihat saya ini kerana mahukan negara ini berbudaya matang dalam berpolitik.

“Wajib untuk kita jadikan tahun baru iaitu tahun 2025 sebagai perubahan besar dalam dunia politik tanah air,”katanya.

Beliau berkata, pemimpin dan pengikut juga perlu matang dalam menjaga hubungan sesama manusia.

“Dalam dunia demokrasi, kita janganlah sehingga putus ikatan silaturrahim dan keluarga kerana berlainan ideologi politik.

“Kita boleh berbeza pandangan atau pendapat, tetapi jangan sampai putuskan hubungan, lagi-lagi hubungan adik beradik,”katanya.

Mustaffa berkata, segala apa dilakukan pemimpin khususnya akan disoal di akhirat kelak, justeru mereka diingatkan berbuat baik sebelum penghabisan usia.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.