Agong perkenan darurat hingga 1 Ogos 2021

Perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

KUALA LUMPUR– Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah perkenan tempoh pengisytiharaan proklamasi darurat hingga 1 Ogos 2021 bagi membendung wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan
satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal

“Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu. Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara,”katanya hari dalam satu kenyataan.

Ahmad Fadil berkata, Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharaan Proklamasi Darurat dilaksanakan selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 45 minit di Istana Negara semalam.

“Pada sesi menghadap yang bermula jam 5.30 petang semalam, Tan Sri Muhyiddin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan Pengisytiharaan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu,”katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini,”katanya.

Rentas7.com/ Foto:FB Istana Negara

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.