Malaysia makin parah tanggung ratusan ribu Rohingya, perlu berani nyatakan dasar dan pendirian

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus menyokong pandangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu pelarian Rohingya yang kini semakin memberi tekanan kepada Malaysia.

Mustaffa berkata, Malaysia tidak seharusnya terus dipersalahkan atau dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan hanya kerana negara ini mahu mempertahankan kepentingan rakyat, keselamatan negara dan kemampuan sebenar dalam mengurus isu pelarian.

Menurut beliau, masyarakat antarabangsa khususnya pihak Barat perlu memahami bahawa Malaysia telah lama memberikan ruang perlindungan kepada pelarian, sedangkan negara ini sendiri tidak mempunyai sumber dan kapasiti tanpa batas untuk menanggung kehadiran pelarian dalam jumlah yang besar.

“Pada awalnya kita difahamkan Malaysia hanyalah tempat persinggahan sementara bagi mereka yang memerlukan perlindungan sementara proses dokumentasi dan penyelesaian dilakukan, termasuk usaha untuk mencari penyelesaian di negara asal atau negara ketiga.

“Namun persoalannya, berapa ramai yang akhirnya benar-benar kembali ke negara asal dan berapa ramai pula yang terus menetap di Malaysia sehingga bertahun-tahun?” katanya dalam satu kenyataan.

Mustaffa berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius terhadap pendekatan pengurusan pelarian yang selama ini dilaksanakan, khususnya apabila penyelesaian sementara akhirnya berubah menjadi keadaan yang berpanjangan tanpa tempoh yang jelas.

Beliau berkata, data UNHCR sendiri menunjukkan Malaysia mempunyai kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar pada akhir Februari 2026, termasuk lebih 126,000 etnik Rohingya. Angka itu menunjukkan Malaysia menanggung beban yang jauh lebih besar berbanding sesetengah negara serantau.

“Indonesia pula merekodkan kira-kira 2,590 Rohingya pada akhir 2025. Jadi kita perlu bertanya mengapa Malaysia menjadi antara destinasi utama sehingga jumlahnya begitu besar, sedangkan negara jiran turut berdepan isu pelarian dan kemasukan pendatang dari Myanmar,” katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut bukan bermaksud Malaysia menolak nilai kemanusiaan atau mahu menafikan penderitaan rakyat Rohingya, sebaliknya Malaysia berhak meminta penyelesaian yang jelas, terancang dan mempunyai garis masa, supaya tanggungjawab tidak akhirnya diletakkan hampir sepenuhnya ke atas negara penerima.

“Jika benar konsepnya ialah perlindungan sementara, maka mesti ada mekanisme yang jelas untuk menentukan masa depan mereka. Tidak boleh setiap kali Malaysia membangkitkan soal kawalan sempadan, keselamatan dan kemampuan negara, Malaysia pula dituduh tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Mustaffa berkata, UNHCR dan masyarakat antarabangsa juga perlu lebih telus dalam menjelaskan apakah bentuk penyelesaian jangka panjang yang ditawarkan kepada pelarian Rohingya, termasuk penempatan semula ke negara ketiga, kepulangan secara sukarela apabila keadaan mengizinkan serta kerjasama dengan negara asal.

“Malaysia sudah terlalu lama menjadi tempat menanggung akibat daripada masalah serantau yang tidak mempunyai penyelesaian tuntas. Kita boleh membantu atas dasar kemanusiaan, tetapi bantuan kemanusiaan tidak sepatutnya bermaksud Malaysia perlu menanggung masalah ini tanpa penghujung,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan Malaysia perlu berani menyusun semula dasar pengurusan pelarian dengan mengambil kira kepentingan rakyat, keselamatan negara, kemampuan ekonomi serta hubungan diplomatik, sambil memastikan golongan yang benar-benar memerlukan perlindungan tidak dizalimi.

“Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai pendirian yang lebih tegas. Kita bukan negara yang tidak berperikemanusiaan, tetapi kita juga bukan negara yang boleh dipaksa menerima tanggungjawab tanpa batas hanya kerana tekanan dan kritikan pihak luar,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.