Halau Zafar Rohingya dan isteri dari Malaysia- PAMM

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap Zafar Ahmad Abdul Ghani termasuk mempertimbangkan untuk menyenarai hitam dan mengusir beliau bersama isterinya dari Malaysia sekiranya terdapat asas undang-undang untuk berbuat demikian, kata Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat (PAMM) Melayu Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus.

Mustaffa berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation Malaysia (MERHROM) tidak berdaftar dengan JPPM, manakala Zafar didakwa atas dua pertuduhan berkaitan pengurusan pertubuhan tidak berdaftar.

“Zafar dan isterinya perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya jika mereka didapati tidak mempunyai asas untuk terus berada di Malaysia. Kita mahu mereka disenarai hitam dan diusir sekiranya tindakan itu dibenarkan undang-undang. Negara ini ada kedaulatan dan undang-undang,” katanya.

Menurut Mustaffa, status MERHROM yang tidak berdaftar turut menimbulkan persoalan bagaimana organisasi itu boleh beroperasi secara terbuka serta tampil membawa nama sebuah pertubuhan hak asasi manusia.

“Apabila seseorang mengaku sebagai pemimpin sesebuah organisasi, tetapi organisasi itu didapati tidak berdaftar, maka status dan segala aktiviti yang dilakukan atas nama organisasi itu perlu diteliti. Jangan sampai masyarakat keliru antara kedudukan sebuah organisasi dengan pengiktirafan rasmi kerajaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Zafar selama ini mendapat ruang melalui hubungan dengan pihak tertentu, termasuk wakil rakyat kerajaan, sehingga status sebenar MERHROM tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Kalau benar ada pihak yang menggunakan hubungan dengan wakil rakyat kerajaan untuk mendapatkan ruang dan kepercayaan, perkara ini perlu disiasat. Jangan sampai nama wakil rakyat digunakan sebagai perisai sehingga masyarakat menganggap sesuatu pertubuhan itu mendapat pengiktirafan kerajaan,” katanya.

Mustaffa berkata, sifat pemurah dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan sememangnya wajar dihargai, namun pada masa sama masyarakat perlu lebih berwaspada supaya keterbukaan itu tidak dieksploitasi oleh pihak luar.

“Kita membantu kerana nilai kemanusiaan. Tetapi dalam kita membuka ruang dan menghulurkan bantuan, kita juga mesti memastikan kebaikan rakyat Malaysia tidak disalahgunakan sehingga akhirnya kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara pula terjejas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu meneliti perkembangan berkaitan kehadiran pendatang dan pelarian asing di negara ini, terutama apabila terdapat insiden yang melibatkan keselamatan anggota penguat kuasa.

“Apabila anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas berdepan kekerasan, ia tidak boleh dipandang ringan. Penguatkuasaan undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak tanpa mengira status atau latar belakang,” katanya.

Dalam masa sama, Mustaffa mempersoalkan tindakan Zafar yang sebelum ini tampil sebagai pemimpin MERHROM serta aktif mengeluarkan kenyataan mengenai isu Rohingya dan hubungan dengan organisasi antarabangsa.

Katanya, perkembangan itu menjadikan penelitian terhadap status, aktiviti dan jaringan organisasi berkenaan semakin penting supaya tidak berlaku kekeliruan antara aktiviti sebuah kumpulan dengan pengiktirafan rasmi kerajaan Malaysia.

Zafar sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] dan memohon untuk dibicarakan. Kes itu masih dalam proses mahkamah.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.