ALOR SETAR -Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas dan menyeluruh berhubung perkembangan masyarakat Rohingya di negara ini yang dilihat semakin meluas dalam pelbagai sektor kehidupan.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak lagi boleh dilihat semata-mata dari sudut kebajikan dan kemanusiaan, sebaliknya perlu ditangani dari aspek penguatkuasaan undang-undang, keselamatan serta kepentingan rakyat tempatan.
Menurutnya, terdapat kebimbangan apabila masyarakat Rohingya didakwa semakin aktif dalam menguasai sebahagian premis perniagaan dan menjalankan aktiviti ekonomi tanpa pemantauan yang mencukupi.
“Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan mereka sudah menguasai sebahagian premis termasuk yang berkaitan klinik dan hospital. Perkara ini perlu disiasat dan dipastikan status serta kelayakan mereka mengikut undang-undang,” katanya.
Dr Mustaffa berkata, kerajaan perlu mendapatkan gambaran sebenar mengenai jumlah masyarakat Rohingya yang berada di negara ini termasuk lokasi penempatan, pekerjaan dan aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Beliau turut membangkitkan isu pemilikan kenderaan oleh sebahagian daripada mereka yang didakwa menggunakan atau membeli kereta walaupun tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Katanya, keadaan itu boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya dan penduduk tempatan sekiranya tidak dipantau serta dikuatkuasakan dengan sewajarnya.
“Kalau benar terdapat individu yang memandu tanpa lesen, tindakan perlu diambil tanpa mengira siapa mereka. Undang-undang jalan raya mesti terpakai kepada semua,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menolak sebarang dakwaan bahawa pendiriannya didorong sentimen perkauman, sebaliknya menegaskan isu tersebut berkaitan kepatuhan kepada undang-undang dan keselamatan awam.
Katanya, rakyat Malaysia juga mempunyai hak untuk memastikan kemudahan awam, peluang ekonomi dan ruang kehidupan mereka diurus secara adil serta terkawal.
Dr Mustaffa menggesa Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi berkaitan mempertingkat operasi pemantauan terhadap premis serta aktiviti yang melibatkan warga asing.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dibuat berdasarkan fakta dan bukti supaya tidak berlaku sebarang tindakan secara melulu terhadap mana-mana pihak.
“Kerajaan perlu bertindak sebelum keadaan menjadi lebih sukar dikawal. Kita tidak mahu isu ini akhirnya memberi kesan kepada keselamatan dan keharmonian masyarakat tempatan,” katanya.
Pada masa sama, Dr Mustaffa berkata aspek kemanusiaan tetap perlu diberi perhatian kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan, namun ia tidak boleh mengatasi undang-undang negara.
Beliau berharap kerajaan mengambil serius kebimbangan rakyat dan memastikan semua individu yang berada di Malaysia mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan tanpa pengecualian.
RENTAS7








Leave a Reply