ALOR SETAR-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah menggesa kerajaan tidak membenarkan warga Rohingya menerima kemudahan rawatan di hospital kerajaan, sebaliknya rawatan mereka hendaklah diuruskan melalui kemudahan yang disediakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai badan yang menjadikan negara ini sebagai pusat pengumpulan Rohingya.
Rawatan mereka juga perlu dibiayai sepenuhnya oleh badan-badan antarabangsa atau NGO dengan di kawasan seperti kem pelarian bukannya berkorban kemudahan dengan rakyat Malaysia.
Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, berkata Malaysia telah terlalu lama menanggung beban kewangan bagi menguruskan kebajikan warga Rohingya, termasuk penggunaan kemudahan kesihatan awam yang dibiayai oleh rakyat negara ini.
“Negara ini semakin lama semakin pelik, rakyat semakin terancam dengan lambakan PATI dan pelarian, paling pelik apabila kemudahan rakyat terpaksa berkongsi dengan PATI dan pelarian. Ini satu musibah besar dan satu kegagalan yang nyata,” katanya.
Menurut beliau, insiden cubaan seorang ibu Rohingya menukar bayi dengan bayi milik penduduk tempatan merupakan satu insiden yang amat serius dan, jika benar, tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengancam keselamatan serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Sementara itu beliau mengucapkan tahniah kepada penduduk di Kuala Muda yang bertindak menghalau sekumpulan warga Rohingya baru-baru ini.
“Tindakan itu mencerminkan kemarahan masyarakat terhadap isu lambakan warga Rohingya di negara ini.
“Kejadian tersebut membuktikan semakin ramai rakyat sudah muak dengan kehadiran mereka dan menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani isu berkenaan,”katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sebuah penempatan khas yang dikawal ketat di kawasan pulau yang terpencil bagi menempatkan semua warga Rohingya yang berada di negara ini sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.
Katanya, segala kos makanan, kebajikan dan pengurusan penempatan tersebut hendaklah ditanggung oleh UNHCR serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bukannya menggunakan wang rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap isu pendatang asing demi menjaga keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara.
RENTAS7








Leave a Reply