Ketatkan SOP di pusat pemindahan banjir, elakkan peningkatan COVID-19

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR-Keadaan yang sesak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir berupaya meningkatkan risiko penularan penyakit kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Hal ini disebabkan situasi negara yang masih dilanda pandemik COVID-19.

“Sehubungan dengan itu, pematuhan kepada SOP dan amalan norma baharu oleh semua mangsa banjir di PPS perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua agensi yang terlibat,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau juga menuntut mangsa-mangsa banjir sentiasa menjaga kesihatan kendiri, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Selain itu, mangsa-mangsa banjir juga perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai kejadian banjir di beberapa buah negeri.

Menurutnya, sehingga dua petang hari ini, tiga buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang telah dilanda banjir.

“Terdapat seramai 8,244 mangsa dan 71 buah Pusat Pemindahan Sementara telah dibuka.

“Adalah dimaklumkan, salah satu fasiliti kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Rantau Panjang telah terjejas akibat dari kejadian banjir dan perkhidmatan berkaitan telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi,”katanya.

Menurutnya, sebanyak 49 pasukan petugas perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah digerakkan ke PPS yang telah dibuka bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit dijalankan secara berterusan. Hasil pemantauan yang dijalankan sehingga kini mendapati, tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di PPS,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.