KUALA LUMPUR, – Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) mengecam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merobohkan struktur premis perniagaan milik peniaga Melayu di Taman Desa Pandan, dan menyifatkannya sebagai satu bentuk kezaliman terhadap rakyat sendiri.
Pengerusinya, Dato’ Mustaffa Idrus menyuarakan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan itu yang menurut beliau langsung tidak mencerminkan keprihatinan terhadap nasib peniaga kecil, khususnya golongan Melayu daripada kelompok B40.
“Saya akui DBKL ada mengeluarkan notis pengosongan pada 15 Januari lalu. Tetapi tindakan mengejut tanpa toleransi terhadap peniaga Melayu yang mencari rezeki secara kecil-kecilan sangat tidak wajar. Sepatutnya mereka diberi ruang dan peluang untuk mencari penyelesaian.
“DBKL jangan zalim. Jangan tindas bangsa sendiri yang hidup dalam kesempitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,”katanya.
Dato’ Mustaffa turut menegaskan bahawa DBKL sepatutnya berasa malu kerana bertindak keras terhadap bangsa sendiri yang berniaga secara sah dan terbuka, sedangkan banyak lagi pelanggaran oleh warga asing dan kaum lain tidak mendapat layanan yang sama.
“Apakah undang-undang ini hanya keras kepada peniaga Melayu? Di mana letaknya keadilan sosial jika yang miskin dan tempatan dihimpit, tetapi yang asing dibiarkan?” tegasnya.
Beliau juga mempersoalkan sikap berat sebelah DBKL dalam isu penguatkuasaan, apabila premis milik warga asing dan kaum lain yang turut melanggar syarat masih bebas beroperasi tanpa tindakan tegas.
Tambah beliau, ramai peniaga yang terkesan adalah tulang belakang kepada keluarga mereka, dan tindakan meroboh premis ini menambahkan lagi tekanan hidup yang sudah sedia ada.
PAMM menggesa kerajaan pusat dan DBKL agar lebih berperikemanusiaan serta tidak melaksanakan undang-undang secara semborono tanpa mempertimbangkan impak terhadap rakyat marhaen.
“Kami tidak menolak penguatkuasaan, tetapi biarlah ia dilaksanakan secara adil, saksama dan berjiwa rakyat. Jangan sampai bangsa sendiri terpinggir dan melarat di bumi sendiri,” katanya lagi.
RENTAS7








Leave a Reply