Kartel daging: Dr. Zulkifli tuntut siasatan telus dan amanah

Dr. Zulkifli mengadakan melakukan pemeriksaan daging sejuk beku

KUALA LUMPUR-Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohd al-Bakri menegaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak terlibat dengan urusan kawal selia kemasukan produk di pintu masuk negara.

Dr Zulkifli berkata, JAKIM tidak terlibat kerana di sana telah ada agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan.

“Dapatkan berita daripada sumber yang sahih. Saya pasti, kita semua amat bersetuju bahawa isu ini tidak wajar dipolitikkan. Ini urusan ibadah umat Islam.

“Oleh itu, saya akan berusaha untuk memastikan pihak berautoriti menjalankan siasatan yang telus dan amanah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan mengejut di Syarikat Al Hilal Food Processing Sdn. Bhd dan Ramly Food Processing Sdn. Bhd.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan agar terus memilih produk-produk yang telah mendapat pensijilan halal Malaysia kerana pensijilan halal Malaysia telah melalui proses yang ketat berdasarkan standard ISO IEC 17065 sebagai Badan Pensijilan Halal.

“Saya akan memastikan segala cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak JAKIM, akan diteliti sebaiknya demi keselesaan umat Islam.

“Saya juga yakin dengan doa semua, kemelut 40 tahun ini akan selesai dengan izin-Nya, insya-Allah,”katanya.

Beliau berkata, Beliau berkata, JAKIM sebagai pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia bertanggungjawab untuk mempersijilkan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara sahaja.

“Manakala produk daging yang diimport masuk ke Malaysia perlu mendapat pengesahan halal daripada Badan Islam di negara pengeluar.

“Bagi tujuan mendapatkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membawa produk tersebut masuk ke Malaysia, JAKIM bertanggungjawab untuk membuat pemeriksaan verifikasi untuk mengesahkan bahawa loji sembelihan di negara pengeluar telah dipersijilkan halal oleh Badan Islam dan mematuhi standard-standard yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dari aspek hukum syarak,”katanya.

Mengulas lawatan ke atas dua syarikat berkenaan, Dr. Zulkifli berkata, ia dilakukan
susulan isu keyakinan status halal daging dan produk import.

Menurutnya, kedua-duanya adalah pengimport daging dan produk daging sejuk beku dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Dua syarikat di atas adalah antara syarikat yang melengkapi proses rantaian pensijilan halal sebagai pengimport produk daging halal dan pengeluar produk daging sejuk beku halal.

“Kedua syarikat ini telah mematuhi sepenuhnya prosedur pensijilan halal dan undang-undang yang dikuatkuasa,”katanya.

Pada 1 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam operasi bersepadu berjaya merampas 1,500 tan daging sejuk beku dari sumber diragui di sebuah gudang di Johor.

Kebanyakan daging ‘halal’ itu diimport dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kesemua daging itu dibungkus semula dengan logo halal sebelum dijual ke seluruh pasaran Malaysia.

Lebih parah, daging-daging ‘halal” itu dijual di pasaran Malaysia sejak 40 tahun lalu.

Rentas7.com