Industri dan ekonomi di Klang boleh terus beroperasi

KUALA LUMPUR– Kerajaaan membenarkan semua sektor ekonomi di Daerah Klang untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada Prosidur Operasi Standard (SOP).

Menteri Kanan merangkap Menteri Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, ia diputuskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke-22 secara maya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pagi tadi.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di daerah Klang dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi.

“Negeri Selangor menyumbang 24 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30 peratus daripada keseluruhan sektor pembuatan negara.

“Daripada aspek pasaran buruh, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor iaitu 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019.

Menurutnya, kerajaan menyedari bahawa syarikat dan industri termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan dan protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing semenjak Kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020.

“Sehubungan ini, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)
ingin mengingatkan bahawa syarikat-syarikat dan industri yang berkaitan WAJIB mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kegagalan syarikat untuk berbuat
demikian boleh mengakibatkan operasi diberhentikan serta merta dan berdepan
dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa,”katanya.

Tegasnya, keputusan Kerajaan inimengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti logistik, pengangkutan, makanan dan minuman dan lain-lain lagi.

“Dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan fasa pemulihan ekonomi pada masa ini, kerajaan bertegas tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat,”katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor mulai 9 Oktober.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.