Terlibat tiga misi besar hapus komunis sukar dilupakan Abd Manan

Abd Manan menunjukkan gambar lama ketika berkhidmat sebagai PPH

PADANG SERAI– Pengalaman berdepan tiga misi besar amat ketika menentang pengganas komunis akan sentiasa segar dalam ingatan seorang bekas Pasukan Polis Hutan ( PPH).

Bagi, Abd Manan Md Hassan, 63, erti kemerdekaan sebenar lebih bermakna apabila komunis bersetuju meletakkan senjata pada 1989.
Abd Manan berkata, komunis masih mengancam keselamatan negara pada tahun 80 an walaupun negara telah diistiharkan merdeka pada 1957.
Menurutnya, daripada lebih 50 operasi disertai sepanjang berkhidmat, tiga operasi paling sukar dilupakan hingga hari ini.
“Tiga operasi sekitar 80 an itu ialah Paksi Tuah, Paksi Hentam di Ulu Rening Selangor, Operasi Pagar Sempadan Bukit Kayu Hitam-Perlis Malaysia-Thailand dan Operasi menggempur komunis di Klian Intan, Perak,”katanya.
Katanya, sepanjang pengalaman menjadi anggota keselamatan, pasukan Batalion 3 disertainya banyak memainkan peranan sebagai mata-mata dan pemusnah jerangkap samar.
“Dalam tiga operasi itu, saya berada dalam Batalion 3. Walaupun dalam semua operasi saya tidak pernah bertempur dengan komunis.
“Tetapi Batalion 3 bertanggungjawab melakukan risikan dan membersihkan jerangkap samar di setiap kawasan ditugaskan,”katanya.
Mengimbau kembali kisah lama, Abd Manan berkata, operasi di Ulu Rening Selangor memakan masa selama 45 hari.
“Arahan awal hanya tiga hari, tetapi disebabkan ancaman komunis masih berleluasa, operasi bertukar kepada 45 hari.
“Kami berada betul-betul di atas puncak Ulu Rening itu. Pertempuran libatkan batalion lain dengan komunis,”katanya.
Katanya, berada dalam hutan dalam tempoh begitu panjang, perasaan pastinya terarah kepada keluarga.
“Siapa tak rindukan keluarga di rumah? Namun demi negara, perasaan itu diketepikan,”katanya.
Menurutnya, dalam tempoh itu, bekalan makanan, pakaian dan peluru dihantar tepat pada waktunya.
“Akhirnya, kami dimaklumkan komunis telah serah diri di Kati Perak. Namun perasaan bimbang masih ada.
“Bukannya kita tahu di mana komunis lain bersembunyi. Dalam rondaan, kita tak nampak depa, tapi depa nampak kita,”katanya.
Disambut komunis Thailand
Abd Manan berkata, PPH Batalion 3 pernah “disambut” komunis ketika sertai operasi Pagar Malaysia-Thailand.
Menurutnya, pagar itu dibina daripada Perlis, Kedah hingga merentasi Kelantan bagi memisahkan Malaysia-Thailand.
“Kumpulan kami ditugas untuk berkawal di Bukit Kayu Hitam Kedah, hingga Perlis selama sebulan.
“Apabila Batalion 3 nak masuk kawasan operasi, ada satu kain rentang ditulis “Welcome Batalion 3” dengan dicat merah,”katanya.
Abd Manan bergambar di salah sebuah kem PPH ketika berkhidmat
Katanya lagi, pihak komunis Thailand adakalanya melakukan provokasi lain kepada anggota keselamatan negara.
“Tetapi seingat saya, provokasi dilakukan komunis Siam tak sampai tahap menyerang dengan tembakan.
“Mereka sekadar “mengusik” dengan menyuluh lampu dari arah sempadan Siam ke arah “base” pasukan kita,”katanya.
Menurut anak kelahiran Kampung Seputeh Sik ini, di sempadan, Batalion 3 juga pernah bertembung dengan kumpulan pemisah Patani.
“Tetapi kumpulan itu tiada masalah dengan pasukan kita.
“Mereka kumpulan gerila Islam Patani. Perjuangan mereka antaranya ialah menentang komunis Thailand yang turut mengancam negara itu,”katanya.
Dipisahkan beberapa minit dengan komunis
Abd Manan berkata, kumpulannya seramai lapan anggota hampir bertemu dengan sepasukan komunis ketika melakukan operasi rondaan di Klian Intan, Perak.
Menurutnya, dia individu berada paling hadapan dalam operasi tersebut.
“Saya ditugaskan melakukan risikan terhadap pergerakan kumpulan komunis. Waktu ketika itu hampir senja.
“Kumpulan kami akhirnya menyeberangi sebatang sungai dan menemui kesan tapak kasut kumpulan komunis yang masih baru. Masih ada titisan air pada daun-daun kering.
“Ertinya kumpulan itu baru sahaja menyeberangi dan kami betul-betul dibelakang mereka,”katanya.
Abd Manan berdiri dari kanan (barisan kedua) bergambar kenangan bersama rakan setugas
Beliau berkata, dalam situasi itu, peranan individu ditugaskan melakukan risikan amat penting dalam membuat keputusan.
“Melihat situasi yang bakal mengancam nyawa ahli kumpulan, saya menasihati pegawai kumpulan iaitu tuan Mohd Rosli Mohd Nizam.
“Saya minta beliau tidak teruskan kemaraan kerana komunis bimbang pergerakan kami dikesan. Lagi-lagi, langit mulai gelap,”katanya.
Katanya, mereka akhirnya sepakat membina benteng di tepi sungai dan bermalam di situ.
“Tetapi alhamdulillah, sepanjang berkawal keadaan semunya selamat. Cuma perasaan takut tu tak dinafikan memang ada. Maklumlah kita juga manusia biasa.
“Dalam setiap operasi, perkara paling penting ialah tawakal kepada ALLAH,”katanya.
Katanya, dalam operasi sama, nyawa mereka selamat daripada jerangkap samar.
“Peristiwa itu berlaku pada pagi hari pertama kami masuk hutan Klian Hutan. Pagi itu hujan.
“Dalam perjalanan, seorang ahli anggota kumpulan terlihat wayar. Dalam operasi apabila terjumpa wayar atau kesan komunis kami diminta berhenti.
“Apabila diperiksa ia wayar jerangkap samar. Jerangkap samar itu beratnya lapan kilogram,”katanya.
Menurutnya, unit pemusnah bom dipanggil sebelum jerangkap samar tersebut dimatikan.
“Masa diambil untuk matikan jerangkap itu ialah selama tiga jam. Jika tiada siapa perasan, mungkin pasukan kami jadi mangsa,”katanya.
Abdul Manan berkata, unit udara turut mengambil langkah berhati-hati sebelum menghantar bekalan makanan.
“Dua hari sebelum hantar makanan unit udara akan buat permantauan terlebih dahulu.
“Tembakan juga akan dilepaskan dari udara bagi memastikan tiada pihak musuh di kawasan helikoper akan mendarat,”katanya.
Bertugas sepenuh hati demi negara
Dalam pada itu Abdul Manan berharap pasukan keselamatan bertugas sepenuh hati demi negara.
“Saya harap anggota keselamatan hari ini bertugaslah dengan jujur dan ikhlas. Hasil titik peluh kita itu untuk sara anak dan isteri.
“Zaman kami dahulu cukup susah, gaji pun rendah. Zaman hari ini dah berlainan, walaupun kerja teruk tetapi banyak kemudahan,”katanya.
tamat
rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.