Tenang mengaji pondok, kini miliki madrasah sendiri

Hj Talib kiri bergambar bersama sebahagian pelajarnya dan seorang penyelaras sekolah (dari kanan) Mohd Zukhi Ghazali

KUALA KETIL- Tidak ramai mengenali siapa sebenarnya pengasas kepada Maahad Al-Naim di sini, hingga kini masih ramai beranggapan ia diasaskan oleh guru agama pondok

Namun siapa sangka, di sebalik kejayaan Maahad Tahfiz dan Sekolah Rendah Al-Naim melahirkan ramai pelajar cemerlang sejak ditubuhkan 34 tahun lalu, ia sebenarnya diasaskan oleh bekas Pemangku Ketua Polis Kedah.

Menceritakan kembali bagaimana maahad ini ditubuhkan, Pengasasnya, Abd Talib Yaacob,75, berkata, ianya bermula dengan kelas pengajian agama yang diikuti di sebuah pondok di Pahang pada tahun 1974

“Waktu itu saya bertugas sebagai Pegawai Cawangan Khas di Pahang. Setiap minggu saya akan mengikuti pengajian di Madrasah Al- Diniah Kampong Pangsa Enam, di Temerloh bagi mendalami ilmu agama.

“Hati saya tertawan dengan pondok apabila melihat adab dan akhlak pelajarnya. Hati rasa tenteram setiap kali datang menuntut ilmu,”katanya ketika ditemui di Maahad Tahfiz Al Naim di sini.

Menurutnya, selepas tiga tahun mendalami ilmu agama di pondok berkenaan, beliau kemudian dipindahkan ke Melaka sebagai pegawai SB.

“Walaupun pindah tetapi hubungan saya dengan arwah Tuan Guru Haji Abdul Rahman tetap rapat, beberapa bulan sekali saya akan ke pondok tersebut untuk menuntut ilmu. Beliau adalah idola saya.

“Dalam masa sama tuan guru ada memberi galakan untuk membuka pondok agama. Hinggalah tahun 1982 jiwa saya tekad untuk mengasaskan sebuah pondok selepas mengenali seorang guru dari Maahad Tarbiah Islamiah, Derang Pokok Sena,”katanya.

Abd Talib berkata, guru berkenaan, Sheikh Ustaz Niamat Yusof dikenalinya sewaktu menghantar anak ke Maktab Mahmud Alor Setar.

“Sheikh ustaz Niamat yang merupakan tenaga pengajar di Maktab Mahmud dalam masa sama membuka pondok di Derang. Saya kemudian menziarahi pondok beliau dan tertarik dengan sistem pengajian dijalankan.

“Bermula dari situ, 10 orang anak dihantar mengaji di situ. Alhamdulillah kesemuanya dibesarkan dengan didikan para alim ulama . Tahun itu juga, saya berbincang dengan  Allahyarham Sheikh Ustaz Niamat untuk membuka pondok di Kuala Ketil,”katanya.

Dirikan pondok atas tanah wakaf ayah

Abd Talib berkata, dengan bimbingan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan Tuan Syeikh Ustaz Niamat, sebuah pondok dibina di Kuala Ketil di atas sebidang tanah persendirian yang diwakafkan ayahnya.

Murid-murid Sekolah Rendah Islam Al Naim dilatih solat berjemaah

“Ayah, Tuan Haji Yaacob Said mewakafkan sebidang tanah persendirian miliknya pada tahun 1982 di Pekan Lama, Kuala Ketil dan dirasmikan oleh kedua-dua guru tersebut. Pondok itu dinamakan Maahad Tarbiah Islamiah Desa Murni.

“Pada asalnya pondok tersebut menawarkan pengajian Al-Quran, Bahasa Arab dan agama. Tahun 1984, Maahad Tarbiah Islamiah Desa Murni dinaungi Maahad Tarbiah Islamiah Derang dengan tambahan sukatan mata pelajaran,”katanya.

Apa yang menariknya, Abd Talib yang bertungkus lumus menguruskan maahad ketika itu masih bersama polis dengan jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Raub, Pahang.

Katanya, kesibukan menjaga keselamatan negara tidak melumpuhkan hasratnya mengembangkan Syiar Islam, sebaliknya usaha mengembangkan maahad berkenaan diteruskan hingga bersara.

“Khidmat saya dalam polis adalah selama  35 tahun 48 hari .Beberapa jawatan disandang termasuklah sebagai Pemangku Ketua Polis Negeri Kedah pada 1997.

“Antara jawatan dilantik sebelum bersara ialah Pegawai Cawangan Anti Dadah tahun , Timbalan Komandan Maktab Siasatan Jenayah ,Pegawai Logistik Bukit Aman, Pegawai Penyelidik dan Perancangan Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah,”katanya.

Beliau berkata, Maahad Tarbiah Ismiah Desa Murni pada tahun pesaraannya didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996 sebagai Sekolah Rendah Al-Naim.

“Pada 1 Disember 2005 pula Maahad Tahfiz Al-Naim beroperasi dengan seramai 21 pelajar. Kemudian pada 2008 Maahad Tahfiz dan Sekolah Rendah Al-Naim didaftarkan di jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah ( JHEAIK).

“Pada mula pondok dibina pelajar hanya berjumlah 60 orang, tetapi hari ini kemasukan pelajar terdiri lelaki dan wanita berusia 6 hingga 20 tahun semakin bertambah dengan jumlah keseluruhannya ialah 400 murid.

“Tapak asal hanya seluas 6.5 hektar, alhamdulillah hari ini pihak maahad sudah membina beberapa prasarana tambahan di atas tanah seluas 12.5 hektar,”katanya.

Tambahnya, pelajar maahad tersebut selain dari Malaysia terdiri daripada negara Thailand, Myanmar, China, Jerman, Kemboja dan England.

Berhasrat jadikan maktab perguruan tahfiz

Menurutnya, perancangan seterusnnya ialah menjadikan maahad berkenaan sebagai maktab perguruan tahfiz.

“Itu adalah perancangan kita pada masa hadapan, untuk ke arah itu pihak pengurusan sedang membina sebuah bangunan sekolah rendah tiga tingkat dengan kos bernilai RM 2 juta.

“Pihak pengurusan juga akan bina kompleks saudara baru dengan kos bernilai RM 25 juta,”katanya.

Bangunan tambahan Sekolah Rendah Islam Al Naim yang sedang dibina

Sementara itu, pelajar, Amir Fuhairah,13 dari Changloom berkata, 13 juzu berjaya dihafalnya sejak dihantar pada usia 11 tahun.

Manakala bagi Wan Abdul Khobir,15, dari Bangkok Thailand berkata, dia dihantar keluarga sejak sebulan lalu dengan maklumat maahad diperolehi dari kenalannya.

“Gembira berada di sini, kawan-kawan dan guru sangat baik dan ramah. Impian saya di sini ialah untuk menghafal 30 juzuk dengan baik,”katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan menerusi Bank Islam di nombor akaun 020480-10025983  di atas nama Maahad Tahfiz  Al-Naim Desa Murni atau Public Bank di nombor akaun 4893237526 di atas nama Maahad Tahfiz Al-Naim.

Orang ramai juga boleh hubungi Abd Talib Yaacob di talian 019-4516403 atau Fatimah Zaharah di talian 019-5213903.

tamat

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.