Tegakkan keadilan untuk kes Adib

Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Negeri Kedah memberi kata dua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24.

Ketua Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, atas ihsan sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri diminta tidak lupa janji untuk menyelesaikan kes itu atau bakal berdepan kemarahan rakyat.

Menurutnya, Ismail Sabri ketika menjadi ketua pembangkang bersuara lantang dalam isu berkenaan.

“Tapi kini telah berkuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jangan buat buat lupa. Segerakan ambil tindakan ke atas kes Adib yang masih tiada keadilan.

“PUTRA menuntut kes arwah Muhammad Adib ditegakkan selepas Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan punca kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua penjenayah terlibat perlu dihukum dan diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Negara kita terkenal dengan perisikan yang hebat, dan berjaya menyelesaikan banyak kes berprofil tinggi.

“Maka, saya tuntut dalam isu ini, kerajaan tidak membiarkan semua penjenayah yang terlibat membunuh Adib terlepas.

“Tolonglah dengar suara rintihan ini, bangsa Melayu akan terus dihina sekiranya kes kematian anak bangsa yang dibunuh ketika keluar bertugas sebagai penjawat awam tidak ditegakkan!,” katanya.

Seandainya kerajaan berdiam diri atau masih melewatkan tindakan, beliau berkata, bangsa Melayu akan terus dipandang hina di tanah air sendiri.

Rusuhan membabitkan dua kumpulan di tapak kuil Sri Maha Meriamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 telah mengorbankan Muhammad Adib.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib telah diserang dan dipukul hingga parah manakala jentera bomba dinaikinya dirosakkan dan dua kenderaan lain dibakar.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.