Tak sempat seludup ..

Lapan guni berisi daun ketum tidak sempat diseludup ke negara jiran

KUALA PERLIS– Sebanyak 200 kilogram daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis.

Rampasan dibuat di persisiran pantai Kuala Perlis pada jam 12.45 pagi hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya menerima maklumat awam berkenaan sindiket tempatan yang bergiat aktif melakukan aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran.

Menurutnya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan menerusi Op Aman di perairan Negeri Perlis.

Menurutnya, mereka baru selesai memunggah keluar muatan guni putih disyaki mengandungi daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Iswara ke dalam sebuah bot terbiar di persisiran pantai.

“Semasa rondaan, anggota bot telah mengesan empat individu dalam keadaan mencurigakan yang baharu selesai memunggah keluar muatan guni putih disyaki mengandungi daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Iswara ke dalam sebuah bot terbiar di persisiran pantai .

“Mereka sedang menunggu kedatangan bot yang dipercayai untuk tujuan diseludup ke negara jiran melalui jalan laut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyeludup berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Pemeriksaan lanjut ke atas guni putih terbabit telah menemukan daun ketum yang dibungkus di dalam plastik kecil dengan anggaran berat 200 kilogram dan bernilai RM36 ribu.

“Kesemua guni putih berisi daun ketum telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,”katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.